06.08.25 Memastikan setiap kementerian menambahbaik kapasiti sumber manusia

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata pengauditan ke atas struktur organisasi dan sumber manusia dalam perkhidmatan awam di setiap kementerian-kementerian di negara ini adalah dalam perancangan di bawah projek Strategic Workforce Audit and Planning atau SWAP yang akan dikendalikan oleh JPM melalui Jabatan Perkhidmatan Awam.

Projek ini adalah untuk memastikan setiap kementerian bertanggungjawab untuk menambah baik kapasiti sumber manusia khususnya dalam pertama, penelitian dan penilaian terhadap keperluan sebenar sumber manusia. Kedua, pelaksanaan pengauditan sumber manusia dan perancangan tenaga manusia; dan ketiga, penyusunan semula, ‘reorganising structural reforms’ organisasi dengan lebih teratur.

Yang Berhormat menjelaskan perkara tersebut semasa menjawap persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampong Belimbing mengenai perancangan bagi pengauditan tenaga kerja di semua kementerian-kementerian atau jabatan-jabatan.

“Antara lain objektif projek SWAP ini adalah pertama, untuk menilai dan menyemak struktur organisasi bagi setiap kementerian pada masa kini supaya bertepatan mengikut mandat dan fungsi terasnya. Kedua, menjalankan audit tenaga manusia di setiap kementerian untuk mengenal pasti jurang yang berkaitan dengan kemahiran sumber manusia dan infrastruktur mana-mana fungsi yang boleh digabungkan atau ditiadakan, cabaran atau kegagalan dalam kesalingkendalian perkhidmatan dan organisasi dan kecekapan organisasi.

“Dan ketiga, mengintegrasikan penemuan ke dalam satu matriks yang menggariskan keperluan modal insan setiap kementerian dan menyediakan pelbagai fleksibiliti dalam pengembangan berdasarkan kemampanan fiskal kerajaan. InsyaaAllah, projek SWAP ini nanti akan dikendalikan oleh pihak yang berkepakaran dan berpengetahuan dalam sumber manusia dan projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini dengan tempoh pelaksanaan selama 3 tahun,” jelas Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang bersidang pada hari ketiga di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI