BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, berpeluang mendengarkan perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Perbahasan Usul oleh Yang Berhormat didahului dengan menjunjung kasih di atas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam memastikan perlaksanaan gerak kerja dan matlamat ke arah Negara Maju Tahun 2035 dapat dicapai dengan jayanya.
Selain daripada itu ujar Yang Berhormat lagi baginda juga memberi penekanan dengan cabaran-cabaran Emerging Issues Global yang akan dihadapi dan ditangani secara bersepadu melalui pendekatan senegara.
“Dalam era globalisasi dan teknologi yang berkembang pesat, salah satu cabaran terbesar yang sedang kita hadapi ialah Emerging Issues Global yang berkaitan dengan Revolusi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI). Perubahan ini bukanlah sesuatu yang bersifat sementara, tetapi merupakan satu arus perubahan struktur ekonomi dan sosial yang mendalam dan berterusan,” ujar Yang Berhormat.
Seterusnya Yang Berhormat menyatakan cabaran-cabaran utama tersebut ialah perubahan drastik dalam jenis pekerjaan, banyak pekerjaan konvensional kini digantikan oleh automasi dan teknologi pintar yang secara langsung mengubah permintaan pasaran buruh, di mana kemahiran teknikal dan digital menjadi keutamaan.
Cabaran utama berikutnya ujar Yang Berhormat ialah ketidaksamaan akses digital (Digital Divide) memandangkan golongan yang tidak memiliki akses kepada teknologi atau internet berisiko ketinggalan, terutama di kawasan pedalaman atau dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.
Ketidaksamaan ini jelas Yang Berhormat akan terus melebar jika tidak ditangani secara inklusif.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan cabaran utama berikutnya iaitu keperluan kemahiran baharu.
“Wujud keperluan mendesak untuk melahirkan modal insan yang celik digital, berkeupayaan menyelesaikan masalah kompleks, dan mampu beradaptasi dengan teknologi masa depan, termasuk kemahiran dalam AI, sains data, keselamatan siber, dan reka bentuk sistem digital,” jelas Yang Berhormat.
Jika cabaran ini tidak ditangani dengan strategi yang jelas, ujar Yang Berhormat lagi ia boleh menjejaskan tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035, iaitu Rakyat Berpendidikan dan Berkemahiran Tinggi di mana belia yang tidak mendapat peluang latihan semula atau pendidikan digital akan ketinggalan dalam pasaran kerja global.
Ujar Yang Berhormat lagi, Ekonomi Dinamik dan Berdaya Tahan yang juga merupakan matlamat utama Wawasan Brunei 2035 akan terjejas kerana tanpa adaptasi terhadap ekonomi digital, negara akan kehilangan daya saing dan peluang pelaburan strategik.
Matlamat ke arah Kualiti Hidup Yang Tinggi juga akan terjejas ujar Yang Berhormat lagi kerana ketinggalan dalam teknologi boleh menyumbang kepada peningkatan ketidaksamaan sosial dan ekonomi.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




