05.08.25 Usaha memperkukuh keselamatan digital negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Cabaran melaksanakan Wawasan Brunei 2035 ini hanya berbaki 10 tahun adalah amat mencabar. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya pelbagai ’emerging issues global’ yang memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung di dalam pelaksanaan secara menyeluruh.

Antara cabaran yang semakin ketara ialah keselamatan siber dan ancaman digital yang bukan saja mengganggu kelancaran sistem pentadbiran serta komunikasi bahkan berpotensi untuk menjejaskan ekonomi negara dan mengancam keselamatan rakyat.

Perkara berkenaan dinyatakan dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Terdahulu, Yang Berhormat menjunjung penuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan dengan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035. Ini mencerminkan keprihatinan baginda tentang hala tuju, kemajuan dan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Menurut Yang Berhormat, ancaman seperti penipuan dalam talian, kebocoran data, serangan ‘ransomware’ dan penyebaran maklumat palsu memberi impak besar kepada keyakinan masyarakat dan pelaburan terhadap kestabilan digital negara.

Untuk menangani cabaran keselamatan siber dan ancaman digital yang semakin kompleks ini tambah Yang Berhormat, beberapa langkah strategik perlu diberikan perhatian luas.

Kongsi Yang Berhormat, pertama, memperkukuhkan infrastruktur dan polisi Keselamatan Siber Kebangsaan, menyemak dan mengemas kini Dasar Siber Kebangsaan secara berkala agar sejajar dengan perkembangan teknologi semasa. Melaksanakan piawaian keselamatan, minimum bagi semua sistem ICT sektor kerajaan dan swasta. Menyediakan Pusat Respons Insiden Siber, CRT yang cekap dan sentiasa bersedia menangani sebarang ancaman atau serangan.

Sementara yang kedua, tambah Yang Berhormat, pendidikan dan kesedaran siber di peringkat nasional memperluas kempen kesedaran keselamatan digital kepada masyarakat umum. Pelajar, penjawat awam dan usahawan, mengintegrasikan modal keselamatan dan etika digital dalam sistem pendidikan sejak peringkat awal. Menyediakan bengkel dan latihan khusus kepada individu dan organisasi tentang bagaimana mengenal pasti, mencegah dan merapuhkan ancaman siber.

Ketiga, kongsi Yang Berhormat lagi, pembangunan sumber manusia dan kepakaran tempatan. Melatih dan menghasilkan lebih ramai pakar keselamatan siber tempatan termasuk dalam bidang forensik digital, pengurusan risiko dan kecerdasan ancaman yakni, ‘threat intelligence’. Menyediakan biasiswa, pensijilan profesional dan kerjasama dengan institusi luar dan untuk membina kapasiti tenaga mahir dalam bidang ini.

“Keempat, kerjasama strategik serantau dan global mengukuhkan kerjasama dengan Negara-negara ASEAN dan agensi antarabangsa dalam menangani generasi baharu merentas sempadan. Menyertai platform global untuk perkongsian maklumat ancaman siber dan amalan terbaik.

“Kelima, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan siber. Memantapkan pelaksanaan dan pemantauan terhadap undang-undang sedia yang ada seperti Akta Jenayah, Siber dan Akta Telekomunikasi. Menyediakan saluran laporan yang mesra pengguna untuk membolehkan orang awam melaporkan jenayah siber dengan mudah dan keenam, menggalakkan budaya bertanggungjawab digital. Menggalakkan etika dan integriti dalam pengguna siber dan teknologi termasuk dalam kalangan belia dan pengguna aktif digital. Mengawal penyebaran maklumat palsu melalui pendekatan pendidikan dan juga tindakan tegas ke atas penyalahgunaan platform,” jelas Yang Berhormat.

Dengan adanya langkah-langkah ini tegas Yang Berhormat, keselamatan digital negara dapat diperkukuhkan dan keyakinan masyarakat serta pelabur terhadap keupayaan Brunei sebagai negara digital yang selamat dan berdaya saing dapat terus dipelihara.

Inilah antara prasyarat penting dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI