BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang memasuki hari kedua dan berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi berkata bahawa Manpower Blueprint telah menyediakan pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran, termasuk kursus latihan teknikal, program perantisan dengan syarikat tempatan serta kerjasama dengan institusi pendidikan bagi membina tenaga kerja yang sesuai dengan keperluan industri.
Menurut Yang Berhormat lagi, ramai belia telah mendapat manfaat daripada program ini, mendapat pendedahan awal dan pengalaman bekerja sebelum memasuki pasaran kerja sebenar.
Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat, selepas program berakhir, ramai peserta masih berdepan dengan pekerjaan sementara atau kontrak jangka pendek, tanpa jaminan untuk berkembang ke kerjaya yang tetap dan ia bukan bermaksud latihan tidak berkesan, tetapi kesinambungan selepas latihan belum sepenuhnya terjamin.
Untuk memperkukuh hasil pelaburan ini, Yang Berhormat menyatakan bahawa mungkin boleh dipertimbangkan beberapa langkah iaitu yang pertama, skim insentif kepada majikan yang mengambil peserta latihan secara tetap selepas program tamat agar sektor swasta lebih terdorong melabur dalam tenaga kerja tempatan secara berjangka panjang.
Kedua, jelas Yang Berhormat, pemetaan kerjaya bersepadu di sekolah menengah yang diselaraskan dengan unjuran pertumbuhan sektor ekonomi lima hingga 10 tahun ke hadapan, agar pelajar dapat merancang laluan pendidikan mereka mengikut keperluan industri sebenar dan meningkatkan kebolehpasaran selepas tamat pengajian dan ketiga pula, program latihan semula yang lebih fleksibel untuk tenaga kerja berpengalaman atau berusia, supaya mereka dapat beralih ke sektor baharu, terutama dalam bidang bernilai tambah tinggi, apabila struktur ekonomi negara berubah atau apabila mereka kehilangan pekerjaan.
Jelas Yang Berhormat lagi, langkah-langkah ini tidak menambah dasar baharu tetapi memperkukuh lagi hubungan antara latihan, pasaran kerja dan pekerjaan jangka panjang.
Dengan pendekatan ini, Yang Berhormat berharap tenaga kerja tempatan bukan sahaja berpeluang mendapat pekerjaan, tetapi juga menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara yang lebih stabil dan berdaya saing.
Seterusnya, Yang Berhormat menambah Social Blueprint telah membantu ramai keluarga mengatasi cabaran asas, melalui skim bantuan kewangan, pemilikan rumah dan pelbagai program kebajikan yang disampaikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta agensi lain. Program kesedaran sosial dan peranan Majlis Perundingan Kampung juga semakin jelas dalam mendekati masyarakat berkeperluan.
Namun, terang Yang Berhormat, terdapat kes di mana rakyat yang berdepan masalah lebih kompleks seperti tekanan ekonomi berpanjangan, kesihatan mental atau isu kekeluargaan terpaksa berulang-alik antara pelbagai agensi untuk mencari penyelesaian. Perkara ini sering melambatkan bantuan atau menyebabkan isu tersebut berlarutan.
“Mungkin boleh dipertimbangkan penubuhan Pusat Sokongan Komuniti Daerah yang menyatukan akses kepada semua perkhidmatan ini di satu lokasi. Melalui pusat ini, rakyat boleh mendapatkan bantuan sosial, kaunseling kesihatan mental dan bimbingan keluarga di satu tempat yang mudah diakses.
“Ia juga boleh menjadi ruang aktiviti komuniti, menyediakan program kesedaran sosial, aktiviti rekreasi dan platform sokongan keluarga yang membina semangat kejiranan dan daya tahan masyarakat.
“Pada masa yang sama, ketua kampung dan Majlis Perundingan Kampung boleh dibekalkan dengan latihan berterusan, agar mereka dapat mengenal pasti isu lebih awal, menyalurkan maklumat dengan cepat dan menjadi jambatan yang berkesan antara rakyat dan agensi kerajaan,” ujar Yang Berhormat.
Tambah Yang Berhormat lagi, pendekatan ini melengkapkan dasar sosial sedia ada dengan menjadikannya lebih mudah dicapai, lebih efisien dan lebih menyeluruh, sekali gus membantu membina masyarakat yang bersatu, berdaya tahan dan menyokong antara satu sama lain.
Yang Berhormat menegaskan Wawasan Brunei 2035 adalah usaha membina negara yang bukan sahaja menumpukan kepada pencapaian hari ini, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk generasi akan datang.
Usaha di bawah tiga ‘blueprint’ utama telah membawa banyak pencapaian yang wajar dihargai, dan pada masa yang sama memastikan manfaat wawasan ini benar-benar sampai kepada setiap rakyat, agar perjalanan menuju matlamat Wawasan Brunei 2035 dapat diwariskan sebagai sebuah negara yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing untuk generasi seterusnya.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




