05.08.25 Tindakan sepadu nasional rangkumkan pelbagai elemen pembangunan tenaga kerja

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Dalam Manpower Blueprint memberikan penekanan besar kepada TVET dan pemetaan kebolehpasaran, ia masih tidak memberi sokongan seimbang kepada graduan bukan teknikal.
Dalam masa yang sama, Economic Blueprint mengiktiraf sektor seperti halal, pelancongan, kewangan Islam dan ekonomi digital sebagai tumpuan utama tapi tidak menyusun laluan jelas bagi penyertaan graduan bukan teknikal yang sebenarnya lebih sesuai untuk memperkembangkan sektor-sektor ini.

Ini mencerminkan ketidakselarasan antara aspirasi ekonomi dan perancangan tenaga kerja yang disepadukan.

Perkara berkenaan dinyatakan dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Untuk menangani isu ini secara structure, Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali mencadangkan agar diwujudkan satu usaha dan tindakan integrasi yang tahap nasional yang menyatukan pelbagai elemen pembangunan tenaga kerja, merangkumi pelaburan, latihan kemahiran, penyerapan pekerjaan dan penggalakan keusahawanan di bawah satu rangka tindakan bersepadu.

Menurutnya, pendekatan ini bukan saja mengelakkan pertindihan dasar tetapi turut memberi garis hala tuju yang jelas bagi penyertaan graduan bukan teknikal dalam pelbagai sektor ekonomi.

Yang Berhormat turut mencadangkan pembangunan dashboard penempatan tahunan yang bersifat telus dan bersandar kepada angka sebenar, yang mana dashboard ini harus berupaya menjejak secara berterusan jumlah pekerjaan yang diwujudkan, jumlah yang diisi oleh tenaga kerja tempatan dan penyataan kemajuan mengikut sektor ekonomi.

Pendekatan ini jelasnya, bukan sahaja dapat membantu dalam penilaian impact policy malah membentuk budaya penyampaian dasar yang lebih bertanggungjawab dan berasaskan prestasi.

Seterusnya, cadangan ketiga menurutnya, adalah peralihan ke arah sistem data terbuka yang membolehkan semua pihak, rakyat, ahli akademik, penggubal dasar dan pelabur turut serta dalam proses pengawasan dan penilaian keberkesanan dasar.
Ketelusan data tekannya, menjadi asas kepada tindakan pembetulan, pengubahbaikan berasaskan realiti bukan andaian.
“Akhir sekali, kita perlu menilai semula keperluan asas dalam kerangka ekonomi kita. Graduan bukan teknikal yang berdepan pengangguran atau pekerjaan yang tidak setaraf merupakan gambaran kepada kegagalan sistem. Menyampaikan jaminan pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan mereka.

“Oleh itu, strategi pembangunan negara tidak boleh berteraskan pertumbuhan angka semata-mata tetapi mesti berakar kepada kesejahteraan, keadilan, kesaksamaan dan mendatangkan manfaat kepada semua modal insan yang pelbagai,” ujarnya lagi.

Yang Berhormat dalam perbahasan usul tersebut merumuskan bahawa kejayaan Wawasan Brunei 2035 tidak boleh diukur semata-mata melalui peningkatan pelaburan atau bilangan industri baharu.

Tambahnya, ia harus berdasarkan sejauh mana strategi negara berjaya mengintegrasikan sepenuhnya semua segmen modal insan termasuk graduan bukan teknikal ke dalam arus pembangunan negara.

Tanpa haluan penempatan nasional yang telus, tanpa membuka sektor strategik pada tenaga kerja jurusan humanities dan tanpa dashboard pemantauan yang menyeluruh tegasnya, kita berisiko mengecilkan potensi-potensi sebenar negara.
Menurutnya lagi, graduan bukan teknikal bukan sekadar statistik dalam laporan EduStats, mereka adalah agen perubahan penyampai nilai jambatan antara dasar dan masyarakat.

Jika kita benar-benar serius untuk melihat Wawasan Brunei 2035 menjadi kenyataan tekannya, maka kita harus mengangkat mereka ke tengah pentas pembangunan negara bukan sebagai pelengkap tetapi sebagai teras yang tidak boleh diabaikan.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI