05.08.25 Terus mendukung keusahawanan komuniti

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis pagi tadi, menjawab beberapa soalan yang diutarakan oleh Ahli-ahli MMN.

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pembangunan menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman mengenai pertimbangan untuk memberikan kebenaran kepada penduduk yang tinggal di Rancangan Perumahan Negara untuk menjalankan perusahaan kecil sebagai salah satu usaha untuk menyara diri selepas bersara atau anak-anak muda lepasan sekolah yang belum bekerja.

Jelas Yang Berhormat Menteri, perkara ini adalah di dalam proses penelitian kementerian dan agensi-agensi berkaitan melalui Majlis Perancangan Guna-tanah Kebangsaan yang mana ahlinya yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan ahli-ahlinya terdiri daripada Setiausaha-setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

“Di dalam perbincangan telah ada kesepakatan bagi membolehkan aktiviti ini dan apa yang tinggal masa ini adalah untuk merangka peraturan undang-undang dan dasarnya supaya menjaga keselamatan dan kesejahteraan jiran dan masyarakat setempat,” ujar Yang Berhormat lagi.

Kementerian Pembangunan katanya menyedari akan potensi aktiviti ini dalam menyokong keusahawanan komuniti dan insyaaAllah apabila peraturan ini dimuktamadkan nanti cadangan ini dapat direalisasikan dan dapat dilaksanakan dengan garis panduan yang teratur.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri berpeluang menjawab soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin mengenai tindakan strategik yang diambil bagi mempercepatkan proses kelulusan Program Perumahan Negara.

Bagi menjawab persoalan ini jelas Yang Berhormat Menteri, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah melaksanakan beberapa inisiatif dan perancangan bagi memastikan pemberian perumahan awam dapat dipercepatkan dan ditambah jumlahnya.

Yang Berhormat Menteri menerangkan pada masa ini, Jabatan Kemajuan Perumahan adalah dalam proses penelitian bagi permohonan tahun 2012 secara berperingkat sebelum dihadapkan untuk mendapat kebenaran bagi mengikuti Skim Perumahan Negara bagi seluruh daerah.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi oleh Jabatan Kemajuan Perumahan dalam proses penelitian adalah seperti Jumlah permohonan yang banyak; Borang kemas kini tidak dikembalikan oleh pemohon; Borang tidak lengkap dan betul; dan pemohon tidak dapat dihubungi (tukar alamat, tukar nombor perhubungan, meninggal dunia).

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI