BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Kebenaran kepada penduduk yang tinggal di kawasan Perumahan Negara dan Perumahan Rakyat Jati untuk menjalankan perusahaan kecil, ‘cottage industry’ adalah antara agenda yang masih dalam penelitian kementerian dan agensi-agensi berkaitan melalui Majlis Perancangan Guna Tanah Kebangsaan yang mana mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Ahli-ahli mesyuarat ini terdiri daripada Setiausaha-setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Kementerian Pendidikan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman mengenai dengan mempertimbangkan kebenaran kepada penduduk di Rancangan Perumahan Negara menjalankan perusahaan kecil seperti ‘cottage industry’ pada pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang memasuki hari kedua dan berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Menurut Yang Berhormat, dalam perbincangan yang telah dibuat sejauh ini mengenai dengan perkara untuk mempertimbangkan kebenaran bagi membolehkan perusahaan kecil seperti ‘cottage industry’ ini, perkara ini telah mendapat kesepakatan bagi membolehkan aktiviti ini dijalankan.
“Apa yang tinggal pada masa ini ialah penelitian lanjut untuk merangka peraturan undang-undang dan dasar supaya apabila perkara ini diberi kebenaran nanti, keselamatan dan kesejahteraan jiran dan masyarakat setempat akan dapat dikawal dengan lebih baik.
“Kementerian Pembangunan menyedari akan potensi aktiviti ini dalam menyokong keusahawanan komuniti dan insyaaAllah apabila penelitian ini dimuktamadkan nanti, cadangan ini dapat direalisasikan dan dapat dilaksanakan dengan garis panduan yang teratur,” jelas Yang Berhormat.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




