05.08.25 Perlu masa perincian memastikan kesasihan maklumat

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Mengenai dengan tindakan strategik yang diambil bagi mempercepatkan proses kelulusan program perumahan negara dalam membantu rakyat memiliki rumah sendiri, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan bahawa Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kemajuan Perumahan telah membuat beberapa inisiatif bagi melancarkan lagi proses penilaian, penelitian permohonan-permohonan yang diterima mengenai dengan permohonan perumahan di bawah Skim Perumahan Negara dan juga Perumahan Rakyat Jati.

Pada masa ini, tambah Yang Berhormat, Jabatan Kemajuan Perumahan sedang meneliti permohonan-permohonan yang dihadapkan sejak tahun 2012 secara berperingkat sebelum dihadapkan untuk kebenaran.

“Antara cabaran yang dihadapi di dalam penelitian yang memerlukan masa ialah perincian yang perlu dibuat untuk memastikan permohonan-permohonan ini, pertama dia menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

“Umpamanya syarat yang lumrah ‘kitani’ ketahui ialah pemohon-pemohan adalah pemohon-pemohon yang terdiri daripada rakyat yang tidak memiliki tanah dan di dalam kategori pendapatan di antara BND445 dan BND3,000 sebulan.

“Ini adalah di antara perkara-perkara yang menjadi syarat dan selain daripada maklumat-maklumat ani yang disampaikan oleh pemohon di dalam borang-borang permohonan dan perkara ini juga memerlukan perincian dari segi penelitian proses-proses bagi setiap permohonan,” ujar Yang Berhormat bagi menjawab persoalan yang diutarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dr. Awang Haji Mahali bin Haji Momin pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang memasuki hari kedua dan berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Perkara ini ujar Yang Berhormat, perlu dilihat dan diteliti sama ada kandungan-kandungan maklumat yang diberikan di dalam borang-borang permohonan ini adalah tepat dan betul.

Ia juga memerlukan masa perincian untuk memastikan kesahihan maklumat-maklumat yang disampaikan kerana antara perkara-perkara yang menjadi cabaran ialah sama ada orang tersebut benar-benar tidak memiliki tanah atau seumpamanya.

“Ada jua yang ‘kitani’ menerima aduan di mana orang ‘atu’ setelah menerima ‘apatu’ skim ani, membeli tanah ‘tia’ selepas ‘atu’, adakah permohonan tanah didaftarkan di bawah namanya? ‘Atulah’ perkara-perkara yang perlu ‘kitani’ elakkan supaya tidak ada ketirisan dari segi penelitian-penelitian ani,” terang Yang Berhormat.

Kongsi Yang Berhormat lagi, perkara ini adalah perkara-perkara yang relevan untuk dibuat pembaikan dari segi memendekkan lagi proses permohonan ini untuk memastikan permohonan-permohonan bagi mereka yang betul-betul layak dapat diproses dengan cepat dan sebaiknya.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI