05.08.25 Perkhidmatan saringan awal kanser dipertingkatkan menyeluruh

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Akses kepada perkhidmatan saringan awal bagi penyakit-penyakit utama seperti Kanser Serviks dan Kanser Payudara telah dipertingkatkan secara menyeluruh.

Kadar pengesanan awal penyakit kini lebih tinggi, membolehkan intervensi perawatan dijalankan dengan lebih cepat dan berkesan, sekali gus mengurangkan beban kepada sistem kesihatan dalam jangka panjang.

Ini dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan juga menerokai kaedah baharu dalam penyaringan Kanser Kolorektal (Fecal Immunochemical Test – FIT) dan memperkenalkan Human Papillomavirus (HPV) self-sampling collection kit bagi panyaringan Kanser Serviks yang membolehkan pengguna menjalankan saringan di rumah secara mudah dan selesa bagi pengesanan yang lebih sensitif dan efektif.

Yang Berhormat juga berkata usaha-usaha ini sejajar dengan dapatan kaji selidik tersebut yang menunjukkan peningkatan kadar penyertaan wanita berumur 30 hingga 49 tahun dalam Saringan Kanser Serviks, daripada 67.5 peratus kepada 74.1 peratus, melebihi kadar 70 peratus yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Dalam usaha-usaha untuk penambahbaikan, Yang Berhormat juga menyatakan Kementerian Kesihatan telah melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi memperkukuh Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan, ini termasuk memudah cara pendaftaran bagi penilaian risiko Kanser Kolorektal, Kanser Serviks dan Kanser Payudara dalam aplikasi BruHealth.

Pelancaran modul pendaftaran saringan Kanser Payudara serta penubuhan Pusat Pengimejan Payudara yang dilengkapi teknologi terkini untuk meningkatkan mutu dan kepercayaan terhadap perkhidmatan saringan dalam tempoh satu tahun yang lalu.

Kementerian Kesihatan juga sedang menerokai kaedah lain untuk meningkatkan liputan saringan, termasuk perolehan Mobile Mammogram yang dianggarkan melebihi BND1 juta.

Kaedah ini menurut Yang Berhormat, sudah dilaksanakan di negara jiran dan dijangkakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya oleh penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman atau yang sukar untuk mendapatkan akses ke hospital.

“Bagi Kanser Payudara, kaji selidik kali ini menunjukkan peningkatan 60.3 peratus wanita melaporkan pernah menjalani pemeriksaan payudara, berbanding 11.1 peratus menjalani pemeriksaan dalam setahun yang lalu.

“Walau bagaimanapun, masih ada ruang untuk penambahbaikan dan kementerian akan terus meneliti, memantau dan mengemas kini usaha-usaha pelaksanaan,” jelas Yang Berhormat.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI