BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Menyentuh mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi secara global dan serantau, Kementerian Kesihatan turut sama meneliti dasar-dasar sedia ada untuk memastikan kelestarian dan keupayaan perkhidmatan kesihatan dan perubatan dalam jangka masa panjang.
Seiring dengan pelaksanaan dasar terbaharu yang melihat trend perbelanjaan kesihatan di negara ini, sudah tiba masanya negara menerokai inisiatif dalam meneliti semula kos dan dasar pemberian perkhidmatan kesihatan, melalui kajian menyeluruh untuk memastikan perubahan ini dilaksanakan secara inklusif dan tidak membebankan setiap golongan yang terkesan dengan perubahan ini.
Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menerusi kenyataannya yang bertajuk ‘Kemampanan Perkhidmatan Kesihatan’ yang disampaikan pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Sebagai langkah ke arah ini, Kementerian Kesihatan, terang Yang Berhormat, telah melaksanakan pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2025.
Di bawah dasar ini, kos rawatan mula dikenakan kepada beberapa golongan dan kini ditanggung sendiri. Walau bagaimanapun, pengecualian bayaran diberikan kepada kumpulan pesakit-pesakit tertentu seperti mana yang diumumkan sebelum ini.
Pengecualian-pengecualian ini katanya, mencerminkan komitmen kita terhadap nilai ihsan serta keprihatinan sosial yang mendalam.
“Kementerian Kesihatan tidak akan pernah menafikan rawatan kepada mereka yang paling memerlukan dan akan sentiasa memastikan bahawa pertimbangan kesihatan awam diutamakan dalam setiap keputusan yang dibuat,” ujarnya.
Kementerian Kesihatan juga tambahnya menyarankan agar penduduk yang terkesan untuk menerokai pelbagai kaedah seperti pengambilan insurans perlindungan kesihatan sebagai langkah persediaan menghadapi bebanan kos rawatan.
“Seperti apa yang sudah dimaklumkan sebelum ini, pada tahun kewangan 2024/2025 sahaja, kerajaan telah menanggung hampir BND70 juta bagi rawatan golongan yang tertentu, termasuk lebih BND28 juta atas rujukan kepada institusi swasta.
“Peningkatan kos yang signifikan dari tahun ke tahun ini memberi isyarat yang jelas kepada perlunya pengemaskinian pembiayaan kesihatan agar kita dapat menyalurkan sumber awam secara lebih berkesan, sambil menggalakkan pertumbuhan sektor-sektor seperti insurans kesihatan dan kemudahan penjagaan swasta.
“Realiti ini diharapkan dapat membawa kita ke sudut yang lebih positif dan menjentik pihak-pihak dan agensi berkepentingan lain untuk melihatnya sebagai potensi untuk membangun sektor-sektor yang berkaitan, dalam membantu kerajaan menanai golongan-golongan yang terkesan khususnya,” terang Yang Berhormat.
Penelitian semula skim pembayaran bertujuan menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan secara bijak dan bertanggungjawab dan secara langsung akan menyumbang kepada pemerkasaan kewangan sistem kesihatan senegara.
Sumber yang dijimatkan, jelas Yang Berhormat, akan disalurkan semula untuk mempertingkatkan infrastruktur, mempercepat pendigitalan, semua bertujuan memperluas akses kepada perkhidmatan komprehensif, meningkatkan mutu rawatan, dan menangani cabaran kesihatan awam termasuk penyakit tidak berjangkit kepada rakyat di negara ini.
Dengan sokongan kerajaan katanya, penglibatan masyarakat, dan kerjasama merentasi sektor, kita yakin bahawa sistem penjagaan kesihatan kebangsaan akan terus maju, memenuhi piawaian antarabangsa selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat turut mengetengahkan Kementerian Kesihatan amat prihatin terhadap kebimbangan dan keresahan yang timbul dalam golongan yang terkesan akibat pelaksanaan pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan ini.
“Kementerian Kesihatan menghargai sumbangan golongan ini kepada pembangunan negara, dan ingin menegaskan bahawa dasar ini dilaksanakan dengan penuh pertimbangan terhadap situasi sebenar kehidupan mereka, termasuk kemampuan kewangan dan keperluan rawatan perubatan mereka,” jelas Yang Berhormat.
Justeru, adalah penting untuk ditekankan bahawa pengemaskinian ini bukanlah langkah diskriminasi atau tindakan yang bersifat punitive, ujar Yang Berhormat malah sebaliknya, ia adalah langkah yang perlu diambil untuk memastikan sistem kesihatan yang lebih mampan dan terarah.
Selain itu tambahnya, pengemaskinian ini sama sekali bukan bertujuan untuk mengurangkan atau mengehadkan pemberian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Pada masa yang sama, penjagaan kesihatan tidak harus diambil ringan dan setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan tahap kesihatan yang terbaik.
Sebagai langkah berterusan, jelas Yang Berhormat lagi, Kementerian Kesihatan berusaha untuk melakukan kajian impak secara berkala untuk memastikan dasar dilaksanakan secara berkesan dan inklusif; menyediakan mekanisme maklum balas yang terbuka untuk mendengar kebimbangan masyarakat; menyesuaikan dasar jika diperlukan, berdasarkan bukti dan pengalaman; serta memastikan komunikasi yang jelas dan berterusan dengan semua pihak yang terlibat.
Setakat ini bagi golongan yang menghadapi kesulitan untuk membuat pembayaran, terang Yang Berhormat, penilaian akan dijalankan oleh pasukan khas terdiri daripada Bahagian Pekerja Perubatan Sosial (Medical Social Worker, MSW) dan Bahagian Kewangan, dan sekiranya layak, akan dirujuk ke beberapa saluran seperti Tabung Amal Bantuan Pesakit, Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atau menerusi kaedah bayaran secara ansuran.
Proses penilaian ini katanya, mengambil kira pelbagai faktor termasuk pendapatan keluarga, jumlah tanggungan, jenis dan kos rawatan yang diperlukan, serta keadaan khas lain yang mungkin mempengaruhi kemampuan seseorang untuk membayar.
Objektif utama adalah untuk memastikan tiada siapa yang terpaksa memilih antara kesihatan dan kemampuan untuk membiayai kelangsungan hidup.
Kementerian Kesihatan juga akan terus menerus memantau dan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan untuk sama-sama memastikan penelitian semula dasar tersebut dilaksanakan sebaiknya dan akan meneliti keperluan untuk merapatkan jurang yang ada pada masa ini.
Menurut Yang Berhormat lagi, kajian berterusan juga akan dilaksanakan untuk mengetahui apa jua masalah untuk diatasi bersama, dan mekanisme pemantauan ini melibatkan analisa trend dalam permohonan bantuan kewangan; maklum balas daripada kakitangan barisan hadapan mengenai pelaksanaan dasar; dan tinjauan kepuasan pengguna perkhidmatan yang terkesan.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




