05.08.25 Peka, responsif, bersedia dengan perubahan yang berlaku

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Dalam landskap global yang tidak menentu dan kian mencabar seperti isu-isu persaingan politik, ekonomi dan teknologi maklumat oleh kuasa-kuasa besar serta konflik di Timur Tengah dan Eropah, negara kita tidak terkecuali daripada turut terkesan. Ini juga mencabar usaha-usaha kita dalam mencapai Wawasan Negara.

Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof menjelaskan perkara tersebut pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang memasuki hari kedua dan berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

“Oleh itu, kita mesti sentiasa peka, responsif dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku. Melangkah ke hadapan, Negara Brunei Darussalam (NBD) juga perlu terus mengukuhkan hubungan dua hala dan berbilang hala dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa,” ujar Yang Berhormat.

Justeru, Yang Berhormat menegaskan bahawa Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri akan terus memberikan sokongan dan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan melalui Whole of Government dalam menjaga kepentingan negara dalam mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Yang Berhormat juga berkata walaupun dengan tersedianya strategi-strategi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam ‘blueprint-blueprint’ yang berkenaan, belum tentu Wawasan Brunei 2035 akan tercapai tanpa adanya pendekatan secara Whole of Nation. Kerana Wawasan Brunei 2035 ini adalah wawasan yang dimiliki dan akan dimanfaatkan oleh setiap rakyat dan penduduk tetap NBD.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat menyatakan penglibatan daripada setiap lapisan masyarakat yang berkepentingan seperti para belia, wanita, peniaga-peniaga, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lainnya adalah juga penting seperti sebagai contoh dalam sama-sama menyumbang kepada pengurangan kos belanjawan dan meningkatkan hasil pendapatan negara serta juga mengenal pasti dan membuat penyelesaian mengenai isu-isu ekonomi dan sosial sepertimana yang dinyatakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai isu lesen peniaga orang tempatan yang disewakan kepada orang luar.

Dalam pada itu, Yang Berhormat juga menyarankan agar ada juga baiknya mendengarkan menerusi Yang Berhormat Ahli-ahli Yang Dilantik apakah peranan, cadangan, buah fikiran, cara penyelesaian dan usaha-usaha yang dapat pihak-pihak masyarakat ini sumbangkan dalam sama-sama berusaha ke arah mencapai wawasan tersebut kerana dengan cara ini dapatlah kita membincangkan perkara-perkara strategik yang bermanfaat kepada rakyat dan penduduk tetap negara ini bak pepatah, ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, Duduk seorang bersempitan, duduk beramai biar lengang’.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI