05.08.25 Pastikan setiap lapisan masyarakat mempunyai akses keperluan asas

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin menyentuh mengenai dengan aspek sosial rakyat dalam Social Blueprint iaitu fokus strategik hasrat memenuhi keperluan asas rakyat dan penduduk dipenuhi.

Menurut Yang Berhormat, ia adalah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosial dan demografi, mempunyai akses dan jaminan yang sama dan saksama kepada keperluan asas ke arah mencapai kualiti hidup yang tinggi dan mampan.

Dalam hal ke arah warga sihat, Yang Berhormat mengusulkan untuk kadar caj baharu bagi masyarakat yang memegang kad ungu yang sudah memegang kad ini selama 10 tahun atau lebih untuk dapat dipertimbangkan mendapat keistimewaan perubatan percuma sama seperti warga negara atau dikemaskini kepada memberi keistimewaan khusus bagi kelompok warga kad ungu ini, khusus yang tidak manipulasi sistem perubatan percuma negara dan yang sudah menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Seterusnya, bagi rumah kediaman tempat tinggal, Yang Berhormat mencadangkan agar kaedah PPP dalam pembangunan rumah di Rancangan Perumahan Negara (RPN) akan dapat diperkasakan dan disegerakan dengan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12) yang terhad, penglibatan sektor swasta dalam pembangunan rumah RPN adalah penting.

“Modal yang ingin kaola cadangkan ialah pihak kerajaan untuk memperuntukkan tapak-tapak tanah RPN yang masih hijau, green sites untuk pembangunan rumah-rumah berkenaan dan perbelanjaan untuk infrastruktur asas sahaja. Manakala pembinaan rumah akan dapat dibuat oleh sektor swasta yang terpilih dan competent dengan perbelanjaan syarikat swasta berkenaan dengan kadar harga rumah mampu milik sekitar BND60,000 hingga BND70,000 bagi satu unit,” ujarnya lagi.

Mengenai pembayaran balik pula, Yang Berhormat mencadangkan pihak bank di negara ini untuk ikut serta dengan menyediakan kadar pinjaman yang kurang dari harga pasaran yang mana pemilik rumah akan dapat membayar balik melalui bank dengan bayaran bulanan yang mampu.

Bagi pendidikan yang holistik dan pelajar dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sentiasa relevan, Yang Berhormat mencadangkan untuk pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan untuk menyediakan peruntukan tahunan bagi mendapatkan khidmat mereka yang berpengalaman di industri untuk menjadi tenaga pengajar dan juga peralatan mengajar ilmu kemahiran hands-on practical di setiap bengkel-bengkel di peringkat IBTE dan Politeknik.

Yang Berhormat percaya dengan cara ini ia dapat mengeluarkan graduan teknikal dan vokasional yang industry-ready yang boleh diterima terus oleh pihak industri tanpa melalui latihan tambahan dan syarikat.

“Bagi aspek jaminan kesejahteraan dan keselamatan iaitu khusus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Ini berkait rapat dengan aktiviti dan pembangunan ekonomi negara.

“Jika ekonomi negara perlahan maka peluang pekerjaan pun akan lambat ditambah, lagi dengan jumlah graduan atau lepasan sekolah yang bertambah setiap tahun.

“Cadangan kaola agar sukatan pencapaian negara setakat ini dalam sektor-sektor aktiviti mempelbagaikan ekonomi negara perlu diteliti dengan serta-merta dan merumuskan hala tuju seterusnya,” ujarnya lagi.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI