05.08.25 Negara komited memelihara alam sekitar, pengurusan mampan sumber asli

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Cabaran dalam menghadapi emerging issues global dalam pelaksanaan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 adalah sesuatu yang kompleks, mendalam dan saling berkait.
Ia bukan sahaja menyentuh isu domestik negara, malah turut dipengaruhi oleh arus global yang pantas berubah baik dari segi teknologi, ekonomi mahupun alam sekitar.

Antara yang paling ketara ialah perubahan iklim dan bencana alam yang mana kini semakin memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat dan kelestarian sumber negara.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong menyatakan perkara tersebut dalam perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, kesan seperti cuaca ekstrem, banjir luar jangka dan ancaman kepada keselamatan makanan dan sumber air bukan lagi hal yang boleh diketepikan.

Dengan hanya berbaki 10 tahun sebelum tahun 2035 jelasnya, perancangan yang lebih strategik, teratur dan bersepadu perlu segera diwujudkan.

Tambahnya, ini bukan tugas satu pihak sahaja, sebaiknya memerlukan komitmen kolektif semua sektor kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan paling penting penyertaan aktif masyarakat termasuk generasi muda.

Dalam hal ini tekannya, mereka perlu, memperkemaskan dasar berkaitan alam sekitar dan pembangunan mampan; memperkenalkan pendidikan iklim dan kesedaran bencana dalam kalangan generasi muda; menggalakkan penyelidikan dan inovasi hijau serta teknologi lestari; dan mengintegrasikan nilai-nilai kebruneian dan Islam dalam setiap tindakan bagi memastikan pembangunan kita tidak mengorbankan kesejahteraan jangka panjang.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Negara Brunei Darussalam terus kekal sebagai sebuah negara hijau yang kaya dengan khazanah alam semula jadi. Kini sebanyak 72 peratus daripada keseluruhan kawasan tanah negara masih diliputi hutan. 41 peratus daripadanya telah diwartakan sebagai hutan simpanan. Ini adalah bukti komitmen negara yang kukuh terhadap pemeliharaan alam sekitar serta pengurusan mampan sumber asli,” ujarnya lagi.

Pencapaian ini jelasnya, bukan datang secara kebetulan tetapi adalah hasil daripada pelbagai inisiatif, bersepadu yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan warisan alam kita dipelihara untuk generasi akan datang.

Selain daripada itu terangnya, perlindungan hutan, kualiti udara di negara ini juga berada pada tahap yang sangat baik, di mana berdasarkan pemantauan berterusan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) di bawah Kementerian Pembangunan, mengikut laporan setakat bulan November 2022, kualiti udara di keempat-empat daerah kekal selamat dan mematuhi garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lebih pada itu katanya, pelbagai program kesedaran awam terus dilibatkan antaranya kempen setiap hari tanpa beg plastik yang mendidik masyarakat mengurangkan kebergantungan terhadap plastik sekali guna; program penanaman pokok yang menyumbangkan kepada penyerapan karbon dan pemulihan ekosistem; kempen Reuse, Reduce dan Recycle, 3R yang memperkukuhkan budaya kelestarian dan kehidupan harian; dan aktiviti pembersihan pantai yang melibatkan penyertaan masyarakat secara langsung dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

Semua inisiatif ini tambahnya, adalah bukti bahawa Brunei Darussalam bukan sahaja mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga menjadikan pemeliharaan alam sekitar sebagai teras penting pembangunan mampan selaras dengan inspirasi kita menuju Wawasan Brunei 2035.

Selain daripada itu, Yang Berhormat juga berharap agar inisiatif mesra alam sekitar ini tidak hanya terhad kepada program masyarakat dan kesedaran orang awam semata-mata, tetapi terus diperkukuhkan dalam sektor – sektor utama pembangunan terutamanya dalam industri pembinaan dan infrastruktur awam kerana industri ini memainkan peranan besar dalam landskap pembangunan negara.

Justeru itu tegasnya, adalah amat wajar sekiranya setiap projek pembinaan mengambil kira amalan lestari dan mesra alam seperti penggunaan bahan binaan mampan; pengurangan pembaziran sumber; dan reka bentuk yang efisien dari segi tenaga dan air.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, kaola menyarankan agar pihak berkuasa yang berkaitan dengan menyediakan satu garis panduan yang komprehensif dan selaras dengan prinsip kelestarian alam sekitar termasuk penilaian impak alam sekitar, EIA yang lebih ketat dan pematuhan kepada piawaian hijau antarabangsa. Dengan adanya pendekatan ini, penggunaan fizikal negara tidak akan mengorbankan alam sekitar, malah menyumbang ke arah pembentukan bandar dan masyarakat yang lebih hijau, sihat dan berdaya huni,” ujarnya lagi.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI