BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Keberkesanan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang digunakan oleh Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB) dapat menunjukkan penambahbaikan yang ketara dari sebelumnya iaitu dari segi kecekapan proses, dari segi memproses dan statistik terkini.
Statistik terkini menunjukkan bahawa purata masa penyelesaian permohonan TPOR pada tahun 2023 adalah selama 294-295 hari dan Penilaian Kecekapan Proses TPOR bagi Julai 2024-Disember 2024 adalah sebanyak 156 – 157 hari dan sepanjang tempoh pagi Januari 2025 – Jun 2025 adalah selama 54 ke 55 hari.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyatakan perkara itu semasa menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat berhubung mengenai keberkesanan SKN JUZWAB.
Menurut Yang Berhormat, penurunan ini hasil pelaksanaan inisiatif-inisiatif penambahbaikan, antaranya penapisan awal dokumen permohonan (bagi kurangkan beban di peringkat siasatan); Penubuhan Taskforce Siasatan (yang berjaya menyelesaikan ribuan permohonan tertunggak); Penggunaan alat bantu kiraan seperti Kos Minimum Keperluan Asasi (KMKA); Mesyuarat Ad-hoc permohonan sambungan agihan (JKM).
“Jadi punca permohonan tertangguh atau tiada jawapan ani mesti dijelaskan, walaupun ada kemajuan ataupun ada pembaikan yang telah dilakukan semenjak dua tahun ini, tetapi JUZWAB atau jabatan berkenaan itu adalah mengakui masih terdapat cabaran besar, antaranya ialah pertama, dokumen tidak lengkap oleh pemohon yang menyebabkan lebih 2,300 permohonan tergantung dalam sistem dengan status ‘inquiry’.
“Kedua, jumlah pegawai yang terhad dalam erti kata kakitangan, sedangkan purata permohonan masuk setiap bulan adalah sebanyak 556 permohonan setiap bulan. Kemudian sistem teknologi yang belum automatik sepenuhnya walaupun ada penggunaan tetapi tidak sepenuhnya yang kaola nyatakan tadi masih, selain daripada peralatan yang juga ialah untuk menyediakan orang-orang yang dapat menggunakannya atau menguasainya dengan sebaik-baiknya. Masih banyak akibat daripada itu bergantung pada proses manual, jadi ‘ani’ juga menolong apa nama ‘atu’ menyebabkan kelambatan,” jelas Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang memasuki hari kedua dan berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Ketiga, tambah Yang Berhormat, untuk mengatasi kelambatan statistik permohonan, sehingga 10 Julai 2025, terdapat 5,951 permohonan yang masih belum selesai termasuk, 2,422 dalam status ‘inquiry’ dan lebih 2,000 lagi sedang dalam pelbagai peringkat siasatan dan pengesahan.
Mengenai cadangan Yang Berhormat MMN bagi mengadakan sesi terbuka bersama pemohon adalah bertepatan dan sangat wajar. JUZWAB sebenarnya telah mula melibatkan penghulu dan ketua kampung dalam menyebarkan maklumat dan membantu pemohon menyemak permohonan mereka.
Namun, jelas Yang Berhormat, sesi fizikal atau jelajah mukim secara berkala akan lebih berkesan untuk menjelaskan kriteria kelayakan; memberi maklum balas terus kepada pemohon; menyemak dan bantu dokumen yang tertunggak secara terus.
Yang Berhormat seterusnya menambah, SKN di bawah JUZWAB semakin berkesan selepas penaiktarafan kepada sebuah jabatan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Namun usaha-usaha penambahbaikan akan terus dilaksanakan khususnya dari segi kemahiran komunikasi, pemantapan sistem IT dan penambahan tenaga kerja yang kompeten.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




