BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 Ogos. – Berkenaan dengan pelaksanaan ke arah mencapai Wawasan Negara, terdapat beberapa cabaran penting yang perlu kita beri perhatian secara serius di mana antara yang paling utama ialah kemunculan pelbagai emerging issues global yang berpotensi memberi kesan langsung mahupun tidak langsung kepada keberkesanan perlaksanaan dasar dan strategi negara.
Isu-isu seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global, kemajuan teknologi yang pesat, pengaruh media sosial, serta kesihatan mental dan sosial dalam kalangan rakyat bukan sahaja mengubah landskap dunia, malah secara tidak langsung turut mempengaruhi struktur sosial, nilai masyarakat, dan daya tahan ekonomi negara kecil seperti Brunei Darussalam.
Perkara ini dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai pada hari kedua Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Terlebih dahulu, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz juga turut menjunjung penuh titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan dengan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 yang memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi daripada semua pihak dengan mengambil kira cabaran-cabaran global di masa hadapan.
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada pihak yang terlibat atas penerbitan Buku Social Blueprint Negara Brunei Darussalam, yang bertemakan ‘Ke Arah Kualiti Kehidupan Rakyat yang Tinggi’ di mana penerbitan ini merupakan satu langkah yang sangat bertepatan dan strategik dalam menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam usaha memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh – dari aspek sosial, ekonomi, pendidikan, kesihatan, hingga ke penglibatan masyarakat dan belia.
Dari aspek kepimpinan belia dan isu sosial dalam kalangan generasi muda, ujar Yang Berhormat, ia kini menjadi antara tumpuan utama dalam memastikan kita tidak hanya melahirkan generasi yang celik akademik semata-mata tetapi juga generasi yang berdaya saing, berdaya tahan, dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.
Oleh itu, dalam menghadapi cabaran ini, jelas Yang Berhormat, adalah menjadi keutamaan bagi para pembuat dasar, institusi pendidikan, masyarakat awam, dan terutamanya golongan belia untuk sama-sama memainkan peranan secara aktif.
Wawasan Brunei 2035, tekan Yang Berhormat, tidak akan dapat dicapai hanya melalui dasar yang baik di atas kertas, tetapi menuntut pelaksanaan yang inklusif, responsif, dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global yang pantas.
Menurut Yang Berhormat lagi, kita perlu memastikan bahawa pembangunan kepimpinan belia, pemerkasaan masyarakat, kesedaran sosial serta pengukuhan jati diri kebangsaan terus menjadi keutamaan dan dalam masa yang sama, dasar-dasar negara haruslah sentiasa disemak dan ditambah baik agar kekal relevan dengan perkembangan semasa, serta berpaksikan nilai kebruneian yang kita junjung.
“Menyedari bahawa golongan belia merupakan tulang belakang kepada kemajuan negara, maka sudah tentu usaha membimbing dan memperkasa mereka harus menjadi keutamaan,” terang Yang Berhormat.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




