05.02.26 Kunjungan Hormat daripada Ahli Parlimen Bundestag, Republik Persekutuan Jerman Ke MMN

Hari Khamis, 5 Februari 2026, Bandar Seri Begawan – Majlis Mesyuarat Negara petang tadi telah menerima Kunjungan Hormat daripada Yang Berhormat Marja-Liisa Völlers dan Yang Berhormat Ellen Demuth, Ahli-Ahli Parlimen Bundestag, Republik Persekutuan Jerman; berserta pegawai-pegawai dari Kementerian Luar Negeri Republik Persekutuan Jerman. Hadir bersama rombongan ialah Yang Mulia Dr. Imke Börner, isteri kepada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam.

Mewakilli Majlis Mesyuarat Negara ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin; berserta Yang Mulia Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara.

Semasa kunjungan hormat tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai fungsi dan peranan perundangan masing-masing. Ahli-Ahli MMN turut berkongsi mengenai pelantikan Ahli-Ahli MMN dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab dalam bidang masing-masing. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan dalam bidang pendidikan, khususnya dalam pendidikan awal kanak-kanak serta sumbangannya terhadap pembangunan negara. Turut disentuh ialah perkembangan wanita dalam kerjaya pada masa kini.

Kunjungan Hormat ini merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi delegasi Republik Persekutuan Jerman ke Negara Brunei Darussalam selama dua hari yang diketuai oleh Tuan Yang Terutama Dr. Johann David Wedaphul, Menteri Luar Negeri Republik Persekutuan Jerman.

(sumber gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI