04.08.25 Wawasan Brunei 2035: komitmen menuju negara sejahtera, mampan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Wawasan Brunei 2035 terus menjadi kompas utama pembangunan negara, mencerminkan aspirasi jangka panjang Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas semasa menyampaikan ulasan pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Menurut Yang Berhormat, wawasan negara tersebut tidak hanya sekadar gagasan atas kertas, malah menjadi landasan strategik dalam membentuk masa depan Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang sejahtera, inklusif dan berdaya saing.

Salah satu teras utama Wawasan 2035, jelas Yang Berhormat, adalah memastikan rakyat menikmati kehidupan yang selesa, selamat dan sihat. Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan termasuk dalam aspek kesihatan, perumahan, pengangkutan awam dan penjagaan sosial.

Namun begitu, Yang Berhormat menekankan keperluan untuk menilai keberkesanan dasar-dasar tersebut secara menyeluruh, khususnya dari segi pelaksanaan dan impaknya kepada masyarakat.

Yang Berhormat menarik perhatian kepada beberapa persoalan penting seperti ketersediaan sistem pengangkutan awam yang benar-benar efisien, selamat dan boleh diakses oleh masyarakat luar bandar; serta isu berkaitan skim perumahan kerajaan seperti kelayakan, penyelenggaraan dan ketelusan pengagihan rumah.

“Dalam aspek kebajikan pula, perlu dinilai sama ada bantuan yang diberikan bersifat jangka pendek atau mampu berfungsi sebagai batu loncatan bagi membantu rakyat keluar daripada kitaran kemiskinan,” ujar Yang Berhormat lagi.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI