04.08.25 Statistik 3PSA menurun, kualiti PA perlu diperkasa

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Kurang daripada sepuluh tahun lagi, Negara Brunei Darussalam (NBD) akan memasuki tahun 2035 iaitu tahun yang menjadi sasaran penting dalam merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Dalam hal ini, keutamaan negara kini tertumpu kepada memastikan matlamat tersebut benar-benar menjadi kenyataan yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat, dan bukan sekadar menjadi harapan yang tinggal sebagai catatan sejarah semata-mata.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam, semasa menyampaikan ulasan pada hari pertama Mesyuarat Kedua Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Menurut Yang Berhormat, terdapat tiga asas penting yang perlu diperkukuhkan sebagai teras kekuatan sosial dan pemangkin kepada kemajuan yang inklusif dan berdaya tahan, iaitu Perkhidmatan Awam (PA) yang cemerlang dan berintegriti; Prasarana yang mantap; dan Masyarakat yang bersatu padu.

“PA bukan sekadar pelaksana dasar, malah merupakan wajah kerajaan kepada rakyat dan menjadi nadi utama pentadbiran negara. Tanpa penyampaian yang efisien dan responsif, dasar atau pelan yang terbaik sekalipun tidak akan membawa kesan kepada rakyat, bahkan boleh menimbulkan rasa kecewa,” ujar Yang Berhormat.

Sehubungan itu, PA mestilah sentiasa berada pada tahap tertinggi dari segi kecekapan, integriti dan daya saing.

Yang Berhormat turut menyentuh mengenai statistik Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) sehingga Tahun Kewangan 2023/2024, yang menunjukkan penurunan prestasi dalam kalangan agensi kerajaan.

Hanya dua agensi berjaya mencapai penarafan empat bintang (sangat baik), enam agensi memperoleh tiga bintang (baik), 14 agensi dengan dua bintang (memuaskan), manakala 26 agensi pula hanya mendapat satu bintang yang menunjukkan tahap memerlukan pembaikan.

Sehubungan itu, Yang Berhormat mengemukakan beberapa persoalan penting iaitu adakah telah dilaksanakan penilaian terhadap keberkesanan strategi yang sedia ada serta mengenal pasti punca sebenar penurunan ini dan apakah pelan tindakan seterusnya bagi memastikan kualiti PA negara mencapai tahap cemerlang menjelang tahun 2035.

Yang Berhormat turut menyatakan penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan di negara ini.

“Kaola berharap agar pelan pemodenan PA yang sedang dilaksanakan akan mampu menutup jurang antara dasar yang digubal dengan penyampaian serta realiti kehidupan rakyat, yang sering menjadi cabaran utama apabila berurusan dengan PA,” tambah Yang Berhormat.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei

BERITA TERKINI