BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Setakat Julai 2025 sebanyak 82 pusat penjagaan kanak-kanak telah berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) di mana 69 pusat telah dibuka dan sedang beroperasi di Daerah Brunei dan Muara dan empat pusat beroperasi di Daerah Tutong serta sembilan pusat lagi beroperasi di Daerah Belait. Sementara bagi Daerah Temburong tidak ada mempunyai pusat penjagaan kanak-kanak yang berdaftar.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai perancangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) untuk melaksanakan penilaian projek dan landskap bagi penjagaan kanak-kanak berasaskan komuniti yang dikendalikan oleh Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) di Negara Brunei Darussalam termasuk yuran yang berpatutan untuk warga yang berpendapatan rendah.
“Pemilik pusat penjagaan kanak-kanak di negara ini adalah terdiri daripada pihak-pihak individu persendirian dan juga NGO. Setakat ini, terdapat empat pusat penjagaan yang dikendalikan oleh NGO.
“JAPEM mengalu-alukan bagi mana-mana pun NGO untuk menubuhkan dan menjalankan pusat penjagaan kanak-kanak dengan syarat ia mematuhi proses pelesenan, syarat-syarat pelesenan dan syarat-syarat garis pandu JAPEM mengikut Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak (Penggal 218),” jelas Yang Berhormat pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Menyentuh mengenai pembayaran yuran untuk penghantaran kanak-kanak, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengongsikan ia adalah tertakluk kepada pusat penjagaan kanak-kanak masing-masing berdasarkan kadar pasaran semasa dan juga jenis-jenis perkhidmatan yang ditawarkan oleh pusat penjagaan kanak-kanak tersebut.
Jadi untuk makluman, tambah Yang Berhormat, mengikut maklumat yang diterima oleh JAPEM setakat ini, secara purata jumlah yuran bagi seorang kanak-kanak berjumlah BND200 bagi setiap bulan.
KKBS setentunya menggalakkan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak untuk ditubuhkan ke arah membantu dan meringankan beban penjagaan dan menggalakkan penyertaan wanita dalam alam pekerjaan.
“Sepertimana yang telah dikongsikan sebelum ini, kementerian ini melalui JAPEM telah menyediakan draf garis panduan penjagaan kanak-kanak atau ‘child daycare’ di premis kerja sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang ada pada masa ini.
“Garis panduan ini sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak secara ‘in-house’ di premis-premis kerja sama ada sektor kerajaan mahupun swasta. Garis panduan ini juga adalah selaras dengan amalan-amalan terbaik antarabangsa dan juga di negara-negara lain,” jelas Yang Berhormat.
Kongsi Yang Berhormat, salah satu objektif penubuhan ‘daycare’ secara ‘in-house’ ini nanti adalah untuk memberikan akses penjagaan secara lebih mudah dan mampu milik atau ‘affordable’ bagi ibu bapa yang bekerja. Tambahan itu, ia juga akan mengelakkan atau mengurangkan keperluan warga kerja keluar masuk pejabat atas keperluan menghantar anak-anak sekolah.
Dengan adanya ‘in-house daycare’ ini jelas Yang Berhormat lagi, ia akan dapat menyokong para ibu bapa terutama kaum wanita yang bekerja dalam menangani isu penjagaan kanak-kanak dan mendukung keseimbangan penjagaan anak dan kerjaya ke arah kehidupan keluarga yang lebih harmoni.
Oleh itu, Yang Berhormat menyatakan penyediaan kemudahan penjagaan anak yang lebih inklusif, mampu milik dan mudah dicapai adalah penting sebagai sebahagian daripada dasar sokongan yang menyeluruh ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang mesra keluarga.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




