BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa menjawab persoalan daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Perkhidmatan Khas ataupun JP Khas sentiasa memastikan pelaksanaan pendidikan khas di semua institusi pendidikan termasuk sektor swasta mematuhi garis panduan secara konsisten.
Pelaksanaan ini, tambah Yang Berhormat, berpandukan Special Education Framework yang menggariskan Prinsip 5A ataupun ‘acceptance, accessibility, adapted curriculum, adapted instruction’ dan ‘adapted assessment’ serta pelbagai buku panduan dan kurikulum khusus bagi memudahkan rujukan ibu bapa, guru dan pihak sekolah.
“Pemantauan dan penilaian dijalankan secara sistematik melalui ‘school review, school placement meeting’, laporan kemajuan pelajar dan ‘school transition meeting’ yang melibatkan pakar JP Khas bersama dengan pihak sekolah. Proses ini memastikan penempatan pelajar intervensi serta pelan pendidikan individu ditetapkan dengan tepat mengikut keperluan,” terang Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Bagi meningkatkan kapasiti tenaga kerja, kongsi Yang Berhormat inisiatif ‘special educational needs support educators’ telah melatih guru sekolah kerajaan, swasta dan agama melalui kursus Pengenalan Pendidikan Khas. Sehingga tahun 2025 seramai 207 peserta telah dilatih. Selain itu, tambah Yang Berhormat, seramai 113 pegawai, pengurus, pelajar berkeperluan khas ditempatkan di sekolah-sekolah melalui program SkiPPA.
“Kementerian juga menetapkan spesifikasi minimum fasiliti seperti bilik terapi, laluan bebas halangan dan bahan bantu mengajar khusus. Pelbagai inisiatif seperti ‘learning assistance centre, model inclusive school’ dan ‘centre of excellence’ diwujudkan. Setakat ini, empat COE telah beroperasi di sekolah rendah dan menengah terpilih.
“Sekolah khas swasta seperti Sekolah Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam juga ditubuhkan bagi menampung pelajar Tahap Priority Level 4 dan Priority Level 5,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan lagi.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




