04.08.25 Mendukung multilateralisme, kepentingan negara di peringkat serantau

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof menjelaskan bahawa sebagai sebuah negara yang kecil, kekuatan kita terletak pada kebolehan untuk membina hubungan yang kukuh dan bekerjasama secara kolektif.
Yang Berhormat seterusnya berkata bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) terus memberikan keutamaan kepada keahlian dan penyertaan aktif dalam ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, Commonwealth dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik antaranya.

“Menerusi keahlian pertubuhan-pertubuhan ini, negara dan rakyat terus beroleh pelbagai manfaat,” ujar Yang Berhormat pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Menurut Yang Berhormat, ia turut mencerminkan komitmen negara yang berterusan dalam mendukung multilateralisme serta memastikan suara dan kepentingan negara dipertahankan di peringkat serantau dan juga global.

Yang Berhormat menambah, ia juga sejajar dengan dasar luar negara yang antara lain menggalakkan kerjasama demi faedah bersama, sama ada secara dua hala mahupun pelbagai hala.

Misalnya keahlian NBD dalam perhimpunan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) tambah Yang Berhormat, ia merupakan landasan untuk mengadakan dialog dan juga untuk memupuk dan memperdalam persefahaman antara parlimen negara-negara ASEAN.

Melalui keanggotaan di dalam AIPA yang aktif jelas Yang Berhormat lagi, NBD telah diberi kepercayaan dan kehormatan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Presiden AIPA dan juga ketika ini sedang memikul peranan sebagai Setiausaha Agung AIPA sehingga penghujung tahun ini.

“Kepercayaan ini melambangkan pengiktirafan terhadap peranan aktif dan konstruktif negara. Sekali gus dapat mengangkat imej dan profil negara kita di rantau ini,” ujar Yang Berhormat.

Di samping itu, tambah Yang Berhormat, dengan adanya Mesyuarat ASEAN – AIPA Leaders’ Interface di mana ia berfungsi sebagai wadah untuk mengekalkan perpaduan dan kerjasama serantau di peringkat tertinggi iaitu antara pemimpin-pemimpin Negara ASEAN dan parlimen Negara-negara AIPA.

Menurut Yang Berhormat, ini memperlihatkan bahawa parlimen juga memainkan peranan signifikan dalam usaha mencapai visi keamanan, kemakmuran dan kemampanan ASEAN.

Menyentuh mengenai dengan penyertaan NBD di Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Commonwealth Parliamentary Association (CPA) jelas Yang Berhormat lagi, ia membolehkan kita untuk turut serta dalam bertukar- tukar pandangan mengenai cabaran serantau dan antarabangsa.

Yang Berhormat menambah, ini termasuk isu-isu yang menjejaskan keamanan perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, keselamatan tadbir urus digital, kesihatan awam dan sebagainya.

“IPU dan CPA juga dapat menjadi medium untuk meningkatkan pembangunan kapasiti ahli dan pegawai MMN, melalui pertukaran- pertukaran dan lawatan rasmi. Ia turut memperluaskan rangkaian kerjasama dengan ahli-ahli parlimen negara lain dan berupaya menjalin kepercayaan dalam kalangan negara-negara ahli.

“Ini juga seiring dengan usaha negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDGs) khususnya SDG 17 iaitu Partnership for Goals ianya bermaksud menggiatkan perkongsian global termasuk antara parlimen-parlimen bagi mendukung agenda pembangunan lestari,” ujar Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat lagi, sebagaimana yang telah ditekankan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 kali pertama pada April 2025, di mana kejayaan dalam merealisasikan Wawasan Negara menuntut rancangan yang teliti, penyelarasan dan penyejajaran yang kukuh serta dedikasi tinggi oleh semua pihak.

Oleh itu, tambah Yang Berhormat, pengalaman dan amalan- amalan terbaik yang boleh diperoleh secara langsung atau rangkaian dapat dipraktikkan untuk meningkatkan undang-undang dan dasar negara pada masa ini dan ini boleh membina kapasiti institusi yang lebih efisien serta boleh meningkatkan tadbir urus yang berkesan.

Tambah Yang Berhormat, oleh itu Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri menyambut baik hasrat MMN untuk menjadi ahli kepada IPU dan CPA. “Inisiatif ini merupakan langkah yang positif, yang tepat pada masanya bagi memperluaskan penglibatan MMN di peringkat antarabangsa.

“InsyaaAllah, ia akan dapat membantu memperkukuh lagi kedudukan negara di mata dunia serta mempertingkatkan pandangan positif terhadap Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga NBD dengan mengongsikan pendekatan dan nilai-nilai negara kita yang unik,” ujar Yang Berhormat.

Jelas Yang Berhormat lagi, ini juga akan menjadi satu landasan bagi NBD mempertahankan dan memajukan kepentingannya sekali gus menunjukkan kita sebagai ahli yang aktif dan bertanggungjawab dalam terus menyumbang kepada dialog bersama ahli-ahli parlimen dari negara-negara sahabat.

Terdahulu, Yang Berhormat dengan penuh hormat dan takzim sukacita menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam antara lainnya mengenai perubahan terhadap kekerapan persidangan majlis daripada satu kali setahun kepada dua kali setahun serta pengemaskinian terhadap prosedur proses kerja menurut Peraturan Mesyuarat atau Standing Orders.

Yang Berhormat dengan penuh hormat dan takzim menjunjung dan menyambut baik titah baginda, ia akan mempertingkatkan lagi keberkesanan persidangan majlis ini dengan terdapatnya peluang untuk perbincangan yang lebih berfokus dan berkesinambungan.

Yang Berhormat juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN atas kewibawaan dan kebijaksanaan beliau mengendalikan sesi Mesyuarat Pertama yang lalu.

Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei 

BERITA TERKINI