BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 Oktober. – Jabatan Bandaran menyelenggarakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil bersempena Sambutan Memperingati Hari Ulang Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei kepada Bandar Seri Begawan (BSB) Kali Ke-54 bagi Tahun 2024 bertempat di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Acara berkenaan khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.
Hadir pada majlis tersebut, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil yang dipimpin oleh Imam Tingkat I, Masjid Sungai Besar, Awang Haji Hanafiah bin Haji Mahmud.
Adanya acara itu juga sebagai mengenang jasa paduka ayahanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dalam memajukan dan memodenkan Negara Brunei Darussalam dan sekali gus sambutan itu disambut pada tanggal 4 Oktober setiap tahun dengan memperingati bahawa Bandar Brunei telah mula bertukar nama kepada BSB pada 4 Oktober 1970.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam kalangan daerah-daerah, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung daripada keempat-empat daerah.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




