BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Sektor pertanian, perikanan dan penternakan terus menjadi tonggak penting dalam usaha kita membangunkan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan.
Dengan kerjasama strategik antarabangsa, inisiatif tempatan yang inovatif, dan pelaburan dalam teknologi moden, sektor ini bukan sahaja akan menjamin keselamatan makanan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi dan peningkatan daya saing negara di peringkat serantau dan global.
Demikian dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis.
Pada pembentangan tersebut, Yang Berhormat menjelaskan kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan sektor ini menjadi penyumbang utama dalam menjamin keselamatan makanan negara, dengan memberi tumpuan kepada meningkatkan produktiviti dan pengeluaran domestik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.
Langkah tersebut juga ujar Yang Berhormat merupakan pendekatan proaktif untuk menangani pelbagai cabaran luaran, termasuk perubahan iklim, bencana alam, geopolitik, dan inflasi.
Kerajaan melalui Kementerian Sumber Sumber Utama dan Pelancongan jelas Yang Berhormat kini mengendalikan sebanyak 70 Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) untuk menyokong keperluan perniagaan dalam sektor ini.
“Setakat Disember 2024, sebanyak 37 peratus, atau 26 KKP, telah lengkap dengan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong aktiviti-aktiviti pertanian secara lebih efektif.
“Pembangunan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan moden dan bersesuaian untuk menyokong peningkatan produktiviti dan daya saing sektor pertanian,” ujar Yang Berhormat.
Dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa, Yang Berhormat menjelaskan kerajaan baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar, Republik Rakyat China.
MoU ini tambah Yang Berhormat, memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan dalam sektor padi, tanaman, dan ternakan, serta potensi penubuhan Pusat Penyelidikan Beras Kebangsaan ataupun National Rice Research Centre. Kerjasama ini juga akan memperkenalkan benih padi hibrid hasil tinggi dan memperkasa kepakaran teknikal untuk mengukuhkan rantaian nilai beras negara.
Untuk meningkatkan efisiensi pengeluaran beras pula, Yang Berhormat mengongsikan Wasan Milling Company Sdn. Bhd., sebuah lagi syarikat GLC, telah mengambil alih operasi pengisaran padi pada bulan Ogos 2022 yang lalu. Syarikat tersebut sedang menaik taraf fasiliti pengisaran padi, termasuk pembinaan fasiliti pengeringan padi ataupun ‘vertical dryer’ dan penyimpanan padi (silo) yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2025 ini. Kapasiti pengisaran akan meningkat daripada tiga metrik tan sejam kepada 10 metrik tan sejam.
Sebagai tambahan ujar Yang Berhormat lagi, Wasan Milling Company bercadang untuk mengimport bahan mentah seperti beras belum dikisar untuk diproses dan dijual di pasaran tempatan, sebagai langkah untuk memaksimumkan penggunaan fasiliti pengisaran tersebut dan meningkatkan tahap sara diri beras negara.
Sementara itu, untuk menyokong sektor pertanian dan perikanan, Yang Berhormat menjelaskan beberapa peruntukan akan disediakan di bawah Perbelanjaan Berulang-ulang antaranya pembelian benih-benih padi hybrid di bawah Skim Pembelian Semula Padi untuk penjualan kepada peladang-peladang padi, bagi meningkatkan lagi pengeluaran beras negara; dan projek-projek seperti pembinaan dan kerja-kerja melabuh ‘takat-takat’ tiruan dan ‘lawa-lawa’ bagi mendukung usaha meningkatkan hasil pengeluaran di bawah sektor perikanan.
Dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan dan meningkatkan penggantian import (import substitution) bagi sumber makanan negara, Yang Berhormat berkata kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei atau BEDB sedang menarik minat syarikat-syarikat pelaburan langsung asing untuk menubuhkan perniagaan mereka dalam sektor makanan di negara ini.
“Langkah ini bukan sahaja untuk meningkatkan kapasiti penghasilan dan pengeksportan makanan tempatan, tetapi juga akan dapat menyumbang kepada penjanaan peluang pekerjaan yang bermakna,” ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




