BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Beberapa inisiatif telah dikendalikan oleh Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dan Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) bagi menyokong usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menyatakan perkara tersebut semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025 / 2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Antaranya ialah Clinical Supervisory Programme iaitu hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi graduan baharu dalam bidang Allied Health Professionals (AHP). Program tersebut di bawah Structure Apprenticeship Program bertujuan bagi membolehkan AHP yang mempunyai Pendaftaran Bersyarat (Conditional Registration) untuk memenuhi kriteria dan mendapatkan status pendaftaran penuh dan seterusnya menjadi AHP practitioner. Kohort pertama program tersebut telah bermula pada bulan Oktober 2024 dan disertai oleh 18 peserta.
“Program Skim Technical Vocational Education and Training (TVET) yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan kelulusan dan kemahiran anak-anak tempatan untuk menjadi lebih ’employable’ dan ‘marketable’ serta mendukung inisiatif bagi mengurangkan kadar pengangguran terutamanya dalam kalangan belia.
“Sebanyak tiga pengambilan sedang dilaksanakan dan dijalankan oleh Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di mana seramai 193 pelajar telah dianugerahkan biasiswa kerajaan dan setakat ini seramai 139 pelajar sedang menjalani kursus.
“Manakala, bagi pengambilan ketiga yang bermula pada bulan Oktober 2024 telah disertai oleh seramai 51 pelajar telah disokong untuk menjalankan kursus-kursus yang ditawarkan di dua institusi pengajian,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata melalui Program Study in Professional Institution (SPIN) in Accountancy telah mula dilaksanakan pada tahun 2021 dan seramai 54 orang pada masa ini sedang menjalani program tersebut, iaitu masing-masing untuk mendapatkan pensijilan ACCA (Association of Certified Chartered Accountants), CAT (Certified Accounting Technicians) dan FIA (Foundation in Accountancy).
Tambah Yang Berhormat lagi, PPB dan PPTM akan terus giat melaksanakan program-program pembangunan tenaga kerja yang sedia ada, serta memperkenalkan beberapa program baharu pada tahun 2025 seperti Program perantisan baharu TechInspire, yang merupakan hasil kerjasama dengan AITI melalui Manpower Industry Steering Committee Working Group di bawah Sektor ICT, dijangka akan dilaksanakan pada suku pertama 2025 ini.
Pelatih program tersebut jelas Yang Berhormat, akan menjalani latihan secara sepenuh masa selama lapan bulan, iaitu dua bulan bagi latihan pensijilan untuk kemahiran teknikal dan ‘softskills’, manakala enam bulan menjalani ‘on-the-job training’. Bagi kohort pertama, seramai 30 anak tempatan dijangka untuk menjalani latihan bagi jawatan IT Technician dan Network Technician serta Program SkillsPlus akan diteruskan pada tahun 2025 dengan memperkenalkan beberapa kursus-kursus baharu mengikut keperluan industri.
“Manakala, pembarigaan terus akan diadakan secara berterusan melalui pelbagai platform seperti Mini Recruitment Drive, Employability Workshop, Pesta Kerjaya, Mukim Connect, dan PPB Open Day.
“Para pencari kerja akan dapat berpeluang untuk memahami lebih lanjut mengenai program-program yang ditawarkan oleh PPB, berinteraksi secara langsung dengan agensi-agensi yang ikut serta, meningkatkan pengetahuan mengenai persediaan menghadiri ujian, temu duga dan sebagainya bagi meningkatkan kebolehpasaran para pencari kerja,” ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




