BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah berkata penyediaan Rang Anggaran Belanjawan Negara bagi Tahun Kewangan 2025/2026 ini berdasarkan kepada analisis dan penilaian yang telah dibuat ke atas prospek ekonomi global dan Negara Brunei Darussalam (NBD); keutamaan perbelanjaan kerajaan; serta kemampuan kewangan kerajaan untuk membiayai perbelanjaan-perbelanjaan berkenaan.
Dalam dunia yang semakin saling terhubung, ekonomi NBD tidak terkecuali daripada kesan perubahan global, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan. Laporan World Economic Outlook yang diterbitkan oleh International Monetary Fund (IMF) keluaran Januari 2025 memberikan gambaran tentang unjuran ekonomi global yang dijangka berkembang secara positif pada kadar 3.3 peratus bagi tahun 2025 dan 2026. Unjuran ini masih di bawah kadar purata 3.7 peratus bagi tempoh di antara tahun 2000 sehingga tahun 2019.
Bagi NBD, kadar pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2025 dijangka meningkat di antara sebanyak 2.4 hingga 3.4 peratus. Unjuran institusi kewangan antarabangsa seperti IMF, ASEAN Plus 3 Macroeconomic Research Office atau AMRO dan Asian Development Bank atau ADB juga telah menunjukkan keyakinan terhadap prospek ekonomi negara, iaitu masing-masing mengunjurkan pertumbuhan yang positif pada kadar 2.5 peratus; 2.1 peratus; dan 2.8 peratus.
“Unjuran ini mengambil kira usaha-usaha pemulihan dan pempelbagaian ekonomi yang dilaksanakan khususnya pengeluaran produk industri hiliran minyak dan gas (downstream) serta aktiviti-aktiviti berkaitan dari Syarikat Hengyi Industries Sdn. Bhd., Brunei Methanol Company Sdn. Bhd. (BMC) dan Syarikat Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI).
“Namun, sebagai negara yang kecil dan terbuka, risiko ketidakstabilan geopolitik yang kian meningkat berpotensi menyebabkan gangguan dalam pasaran tenaga global serta rantaian bekalan. Selain itu, negara juga akan turut terkesan daripada situasi ekonomi rakan-rakan dagang utama, yang akan memberi kesan langsung kepada perdagangan dan pelaburan negara.
“Inflasi global dijangka terus menurun daripada 5.8 peratus pada tahun 2024 kepada 4.3 peratus pada tahun 2025. Walaubagaimanapun, beberapa cabaran masih wujud termasuk kos pembiayaan yang tinggi, ketidaktentuan geopolitik, dan fragmentasi perdagangan. Negara tidak terkecuali daripada terkesan kerana hampir 70 peratus barangan negara adalah diimport.
“Kebergantungan tinggi kepada import, khususnya makanan, menjadikan negara mudah terjejas oleh gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga bahan api, cuaca, dan dasar perdagangan negara pengeksport. Oleh itu, kita perlu memperluaskan sumber import dan meningkatkan pengeluaran tempatan bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan,” ujar Yang Berhormat pada Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, IMF juga menjangkakan perdagangan global berkembang sebanyak 3.2 peratus pada tahun 2025, di sebalik peningkatan fragmentasi ekonomi. Kesan daripada peningkatan perlindungan perdagangan dan peralihan kepada perdagangan intra-blok boleh mengurangkan kecekapan perdagangan global, meningkatkan kos dan menjejaskan daya tahan rantaian bekalan – khususnya bagi sektor pembuatan dan tenaga.
Dalam masa yang sama kata Yang Berhormat, kebergantungan negara kepada eksport minyak dan gas menjadikan pendapatan kerajaan terdedah kepada ketidaktentuan harga minyak. Oleh itu, dalam keadaan perdagangan global yang sederhana, permintaan terhadap produk eksport negara juga boleh terjejas.
Tambah Yang Berhormat lagi, usaha memperkukuh kepelbagaian ekonomi mesti terus dipercepatkan. Kita mesti memastikan bahawa produk eksport di luar sektor minyak dan gas akan dapat lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa, demi mencapai pertumbuhan mampan.
Menurut Yang Berhormat, ekonomi global kini melalui perubahan pesat, dipacu oleh kemajuan teknologi, peralihan landskap tenaga, dan keperluan mendesak untuk memberi keutamaan kepada kelestarian alam sekitar atau environmental sustainability. Ke arah itu, kita juga perlu mengambil tindakan yang bersesuaian agar negara ini tidak ketinggalan dan kekal berdaya saing, di samping bersedia menghadapi risiko-risiko realiti iklim baharu dan kemajuan teknologi seperti Artificial Intelligence dan Cybersecurity.
“Oleh itu, belanjawan tahunan akan perlu disediakan dengan lebih bijak dengan mengambil kira perubahan-perubahan berkenaan, seperti penyediaan ‘green infrastructure’ dan memasukkan elemen-elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau Environment, Social and Governance,” ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




