01.03.25 Memperkukuh pembangunan modal insan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Kerajaan akan terus memberi keutamaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan dengan meneruskan pelaburan dalam sistem pendidikan dan latihan yang inovatif di semua peringkat, dengan menumpukan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak tempatan, terutamanya golongan belia.

Ini termasuk pelaburan dalam infrastruktur pendidikan serta penyelarasan usaha-usaha dengan keperluan industri, perkembangan ekonomi, dan badan profesional ke arah memastikan tenaga kerja dilengkapi dengan kemahiran dan pengalaman untuk menghadapi cabaran semasa dan masa depan.

Demikian antara yang terkandung di dalam Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis di sini.

Dengan tujuan untuk memberikan pengalaman pekerjaan kepada para graduan, Yang Berhormat menjelaskan program Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA) telah diperkenalkan yang dilaksanakan oleh Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) dengan kerjasama Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Skim tersebut jelas Yang Berhormat merupakan skim perantisan di dalam Perkhidmatan Awam, yang akan memberikan pengalaman perantisan selama 12 bulan kepada para graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas, yang belum atau mempunyai pengalaman kerja yang minima dan seterusnya dapat memenuhi keperluan kritikal yang dikenal pasti oleh kementerian.

“Setakat ini, seramai 794 perantis sedang menjalankan program ini di kementerian dan jabatan kerajaan,” ujar Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI