01.03.25 Hab pembayaran digital bakal dilancarkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Sebagai salah satu asas ekonomi digital, satu ‘flagship project’ di bawah Digital Economy Masterplan 2025 telah diperkenalkan iaitu penubuhan National Digital Payments Network Sdn. Bhd. (ndpx).

Ndpx merupakan sebuah syarikat usahasama di antara Syarikat Darussalam Assets (DA) dan institusi kewangan tempatan iaitu Bank Islam Brunei Darussalam Berhad, Baiduri Bank Berhad dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei, bagi menubuhkan sebuah hab pembayaran digital yang akan mengendalikan sistem pembayaran yang pantas (Fast Payment System).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis seterusnya menjelaskan, hab pembayaran digital itu menawarkan manfaat dan kelebihan yang meluas kepada pelbagai pihak berkepentingan.

“Bagi para pengguna, ianya membolehkan pemindahan dana dan transaksi pembayaran dengan mudah, pantas dan selamat. Bagi para peniaga, sistem tersebut boleh mengurangkan kos penerimaan pembayaran digital dan akan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan perniagaan. Justeru, ini juga akan dapat memanfaatkan para peniaga terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk lebih sedia beroperasi secara digital melalui platform ‘e-commerce’ ataupun e-dagang,” ujar Yang Berhormat.

Manfaat-manfaat tersebut tambah Yang Berhormat, dijangka akan dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi perniagaan dan seterusnya, ekonomi secara keseluruhan yang mana hab tersebut dijangka akan dilancarkan, insyaaAllah, pada bulan Mac 2025 ini.

Selain itu, tambah Yang Berhormat juga mengongsikan bahawa kerajaan sedang giat berusaha untuk mempromosi peluang-peluang dalam sektor teknologi yang sedang pesat berkembang, terutamanya teknologi baru berlandaskan Revolusi Industri 4.0 dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence-AI).

Sehingga suku pertama 2025 ujar Yang Berhormat, perbincangan sedang giat diadakan bersama tiga syarikat inovatif dari Amerika Syarikat dan Singapura yang berhasrat untuk meneroka penubuhan pusat data berasaskan AI di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Pihak Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Kementerian Kesihatan (MOH), Pihak Berkuasa bagi Teknologi Info-Komunikasi (AITI) dan Syarikat Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN) ujar Yang Berhormat lagi, sedang merangka pelan tindakan bagi penggunaan AI yang berpotensi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti di NBD.

Manakala, sebagai usaha kerajaan untuk mempertingkatkan infrastruktur perdagangan dan logistik negara, iaitu dengan meningkatkan lagi operasi dan kemudahan di Pelabuhan Muara, Yang Berhormat menyatakan satu Pelan Induk Pelabuhan Muara telah disediakan oleh Syarikat Muara Port Company Sdn. Bhd. untuk merealisasikan pembangunan pelabuhan untuk memastikan rangkaian pengangkutan laut adalah cekap, boleh dipercayai dan dapat menarik peluang-peluang pelaburan asing baharu.

“Salah satu rancangan di bawah pelan ini adalah untuk mengembangkan dan mengubahsuai pelabuhan di mana, insyaaAllah, kedua-dua terminal kontena dan konvensional dirancang untuk diperbaiki dan diperluaskan.

“Projek Muara Port Expansion Plan telah dimulakan dengan satu majlis pecah tanah yang telah diadakan pada bulan Ogos 2024 yang lalu, dan projek ini dijangka akan siap pada tahun 2027, insyaaAllah,” jelas Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI