BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan bagi Tahun Kewangan 2025/2026, Belanjawan Negara akan disediakan sebanyak BND6.35 bilion secara keseluruhan yang akan dikeluarkan dari Kumpulan Wang Yang Disatukan.
“Seterusnya, kaola cadangkan untuk membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tahunan, bagi Tahun Kewangan 2025/2026, untuk memperuntukkannya bagi maksud-maksud yang dinyatakan dalam Jadual.
“Belanjawan ini bukan hanyalah sekadar perancangan tahunan, ia adalah langkah strategik yang berterusan ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035, dan satu komitmen bersama untuk memastikan kemakmuran dan kedayatahanan negara yang berterusan.
“Sebagai permulaan, kaola ingin memohon izin untuk terlebih dahulu mengongsikan beberapa inisiatif, projek dan pencapaian serta peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi rakyat dan penduduk di negara ini ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035,” kata Yang Berhormat semasa membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, tahun 2025 menandakan hanya tinggal 10 tahun sahaja lagi untuk kita mencapai aspirasi besar negara, Wawasan Brunei 2035. Alhamdulillah, pelbagai projek dan inisiatif telah dilaksanakan yang menghasilkan pencapaian membanggakan dan menjadi asas kukuh untuk kita bergerak ke hadapan.
Antara kejayaan utama dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 tambah Yang Berhormat, di bawah matlamat pertama, Alhamdulillah, pencapaian pelajar dalam peperiksaan awam, termasuk pendidikan agama, terus menunjukkan trend peningkatan. Usaha memperkukuh literasi dan numerasi juga diperkasa melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan standard kebangsaan dan program sokongan akademik yang lebih berstruktur.
Dalam prestasi institusi pendidikan tinggi kata Yang Berhormat, kita juga melihat perkembangan yang menggalakkan dalam pengiktirafan institusi di peringkat global yang mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan kualiti akademik bertaraf dunia antaranya Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah mencapai kedudukan ke-142 dalam ‘ranking’ global daripada 749 universiti yang disenaraikan, berdasarkan Times Higher Education (THE) Interdisciplinary Science Rankings 2025, dengan memperoleh pencapaian dalam kalangan Asia Tenggara.
UBD School of Business and Economics pula jelas Yang Berhormat lagi, telah menerima akreditasi berprestij Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB), menjadikan sebahagian daripada kumpulan elit sekolah perniagaan yang memenuhi piawaian kecemerlangan global.
Dalam masa yang sama kata Yang Berhormat, Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah sebuah institusi terkemuka dalam pendidikan tinggi yang mencerminkan komitmennya terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi di peringkat Asia Tenggara yang kompetitif.
“UTB telah memasuki peringkat global dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2025, di mana UTB berjaya menduduki kedudukan antara 801 hingga 1,000 terbaik di dunia; dan menduduki tangga 23 teratas di ASEAN.
“Manakala, di bawah World University Rankings 2025 by Subjects, UTB berjaya menduduki kedudukan antara 601 hingga 800 terbaik di dunia bagi jurusan Kejuruteraan. Pencapaian ini adalah melalui strategi-strategi inovatif yang diperkenalkan oleh UTB, terutamanya dengan penubuhan Pejabat UTB Global.
“UNISSA juga telah berjaya meningkatkan kedudukannya dalam World University Ranking for Innovation (WURI) dengan meraih kedudukan ke-221 secara keseluruhannya.
“Pengiktirafan antarabangsa ini akan mengukuhkan peranan UNISSA sebagai peneraju dalam menyediakan kurikulum dan penyelidikan Islam berkualiti tinggi di peringkat nasional dan global,” jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya berkata, kedudukan negara dalam Programme for International Student Assessment (PISA), iaitu sebuah penilaian antarabangsa yang mengukur keupayaan pelajar-pelajar yang berumur 15 tahun dalam bacaan, Sains dan Matematik pada tahun 2022 telah meningkat bagi ketiga-tiga domain, berbanding pencapaian pada tahun 2018.
Kadar pencapaian dalam Literasi dan Numerasi berdasarkan Student Learning Survey terang Yang Berhormat, juga menunjukkan peningkatan yang membanggakan, di mana literasi penuntut-penuntut Tahun 1 dan Tahun 3 pada tahun 2023 masing-masing telah mencapai 95 peratus dan 98 peratus.
Manakala ujar Yang Berhormat, pencapaian numerasi pada tahun 2023 bagi penuntut-penuntut Tahun 1 dan Tahun 3 masing-masing telah mencapai 85 peratus dan 75 peratus.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




