BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Universiti Teknologi Brunei (UTB) juga telah memperkenalkan satu program baharu iaitu Doctor of Business Administration pada bulan Januari 2025 yang mana program ini dihasratkan untuk memenuhi keperluan ‘action research’ dalam dunia perniagaan sebenar melalui intervensi-intervensi yang dapat diguna pakai, dan seterusnya dapat menyumbang kepada komuniti perniagaan dan pembangunan ekonomi negara, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 bagi mempelbagaikan ekonomi dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah ekonomi yang berasaskan pengetahuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah mengongsikan perkara tersebut semasa menyampaikan Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Jelas Yang Berhormat lagi, bagi membangun modal insan yang berkemahiran tinggi serta memacu inovasi dan pembangunan negara dalam era digital, institusi-institusi pendidikan tinggi di negara ini telah memperkenalkan beberapa program dan inisiatif dalam memastikan kesiapsiagaan tenaga kerja yang ‘future-ready’, dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran dalam sains data di pelbagai sektor, antaranya Bachelor of Digital Science di Universiti Brunei Darussalam, Bachelor of Science (Hons) in Computing iaitu Major in Software Development atau Major in Data Analytics di UTB dan beberapa program Diploma di bawah Politeknik Brunei melalui School of Information and Communication Technology termasuk Diploma in Data Analytics.
“Bagi mendukung hasrat negara untuk membangun satu sistem pendidikan kelas pertama dan memberikan pendidikan holistik bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, peruntukan sejumlah BND221.1 juta akan disediakan bagi sektor pendidikan di bawah Perbelanjaan Berulang-ulang pada Tahun Kewangan 2025/2026, iaitu termasuk untuk meningkatkan taraf dan pencapaian pendidikan di negara ini, kerajaan akan terus menghulurkan biasiswa melalui Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
“Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan pembangunan kapasiti serta latihan kemahiran pelajar-pelajar dengan menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi di institusi terkemuka dunia, melaksanakan kerja-kerja penyelidikan di bawah Institusi Pengajian Tinggi Awam dan selain itu peruntukan akan terus disediakan bagi mengendalikan Bantuan Keperluan Persekolahan Tahunan untuk meringankan beban para ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan persekolahan pelajar-pelajar,” ujar Yang Berhormat lagi.
Ke arah usaha dalam menyediakan tenaga kerja tempatan yang berdaya maju agar sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan dan industri semasa dan juga masa hadapan terang Yang Berhormat, peruntukan sejumlah BND19.21 juta akan disediakan di bawah Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri bagi mengendalikan program-program SkiPPA, Skim TVET, Skillsplus, SPIN in Accountancy dan Tradeskills.
Di samping peruntukan-peruntukan yang telah dikongsikan tambah Yang Berhormat, kerajaan juga menyediakan peruntukan sejumlah BND27.5 juta di bawah Projek Fokus khusus untuk membiayai program atau projek yang menjurus kepada mendukung fokus belanjawan Negara Tahun Kewangan 2025/2026.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




