01.03.25 305 projek dapat dilaksanakan pada RKN12

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Jumlah Harga Rancangan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 (RKN12) secara keseluruhan bagi tempoh lima tahun (2024 hingga 2029) adalah sebanyak BND4 bilion bagi 305 projek berpandukan kepada Manpower Blueprint dan Economic Blueprint selaras dengan matlamat-matlamat yang digariskan di dalam Wawasan Brunei 2035.

Penyediaan peruntukan tersebut adalah sebagai bukti dan menggambarkan dukungan kukuh kerajaan ke atas usaha-usaha dalam agenda pembangunan negara dan memberikan impak positif kepada pembangunan negara serta dapat memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

“Alhamdulilah, setakat 26 Februari 2025, sebanyak BND126,213,786.74 iaitu 25.24 peratus daripada BND500 juta yang diperuntukkan pada Tahun Kewangan 2024/2025 telah dibelanjakan manakala 22 buah projek telah siap dilaksanakan dan sebanyak 65 buah projek dalam pelaksanaan,” ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa Pembentangan Kertas Cadangan Peruntukan Wang Kemajuan 2025/2026 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Sementara itu tambah Yang Berhormat, sebanyak 172 projek masih dalam peringkat awal yang mana 48 peratus daripadanya iaitu 83 projek masih lagi dalam perancangan kementerian-kementerian yang empunya projek dan 22 projek yang telah siap adalah bagi mendukung kluster-kluster tertentu.

Perbelanjaan tahun pertama jelas Yang Berhormat, lazimnya masih di tahap rendah antaranya memandangkan kementerian-kementerian empunya projek akan terlebih dahulu memastikan strategi pelaksanaan projek adalah teratur dan sempurna menurut peraturan-peraturan kerajaan yang berkuat kuasa pada masa ini dan akan mendatangkan nilai tambah, mencapai keberhasilan yang telah dirancang dengan perbelanjaan yang berhemat dan secara optimum.

Oleh yang demikian kata Yang Berhormat, dengan peruntukan pada Tahun Kewangan 2025/2026 yang telah disediakan dihasratkan akan dapat mempercepatkan dan memacu pelaksanaan projek-projek RKN.

Terdahulu, Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas kurnia titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN Bagi Tahun 1446H/2025M antara lainnya bagi memperkasa usaha-usaha bagi mempelbagaikan ekonomi termasuk mengalakkan lebih banyak aktiviti ekonomi baharu seperti aktiviti pelancongan, pertanian, kesihatan, keselamatan, perkhidmatan awam dan industri-industri baharu yang akan juga memberikan kesan limpahan positif untuk peniaga-peniaga tempatan dan memacu lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Pada menjunjung titah-titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia tersebut, dalam sama-sama menuju Wawasan Brunei 2035, kerajaan akan terus bekerjasama secara Whole of Government bagi memastikan projek-projek RKN akan berjalan dengan lancar dan sempurna mengikut garis masa yang telah ditetapkan ke arah mencapai kemajuan dan kepelbagaian ekonomi dengan penyediaan prasarana dan infrastruktur serta kemudahan-kemudahan asas demi menyokong pertumbuhan industri-industri dan sektor ekonomi baharu disamping untuk memperkasa sumber tenaga manusia dan bagi menjaga kesejahteraan dan kebajikan negara.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI