BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Februari. – Bagi memperkukuhkan pemahaman mengenai Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Ke-21 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Urus Setia MMN telah menganjurkan Program PR Engagement MMN-21 yang telah menghimpunkan Pegawai-pegawai Perhubungan Awam (PRO), wakil-wakil Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan serta wakil media swasta dalam satu sesi interaktif.
Program yang telah diadakan pada 10 Februari itu juga memberikan pengiktirafan kepada peranan yang dimainkan oleh pihak kementerian-kementerian dan media sebagai rakan utama bagi menyampaikan berita-berita serta maklumat kepada rakyat berkenaan MMN.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Timbalan Jurutulis MMN, Pengiran Hajah Zaidah binti Pengiran Haji Petra yang menekankan bahawa hubungan erat antara MMN, Kementerian-kementerian dan media bukan sahaja penting dalam memastikan liputan persidangan disampaikan kepada masyarakat, malah turut membantu dalam menyampaikan maklumat terkini mengenai MMN.
Salah satu aktiviti utama yang dijalankan adalah taklimat mengenai Persidangan MMN Ke-21 yang telah memberikan gambaran menyeluruh mengenai prosedur dan proses kerja persidangan. Para peserta juga berpeluang berinteraksi dalam sesi dialog dan seterusnya dibawa menyertai lawatan khas dan pameran yang memberikan gambaran dan juga sejarah, peranan serta fungsi MMN.
Program tersebut bukan sahaja menjadi medan interaksi antara pihak media dan pihak Urus Setia MMN tetapi juga membuka peluang kepada kerjasama lebih erat dalam memastikan penyampaian maklumat mengenai MMN kepada masyarakat.
(Sumber berita: Pelita Brunei)