​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Ogos. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, pagi tadi menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Dewan Rakyat Republik Sosialis Viet Nam (Vice President of the National Assembly of the Socialist Republic of Viet Nam), Tuan Yang Terutama Nguyen Khac Dinh, berserta rombongan seramai 15 orang delegasi dari Dewan Rakyat Republik Sosialis Viet Nam (The National Assembly of the Socialist Republic of Viet Nam) yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Rombongan turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu.
Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, berserta beberapa Yang Berhormat Ahli MMN.
Kunjungan tersebut merupakan tanda hubungan mesra dan persahabatan yang terjalin antara kedua negara.
Kedua-dua pihak telah membincangkan tindakan bersama dalam Plan of Action for the Implementation of the Comprehensive Partnership between Brunei Darussalam dan The Socialist Republic of Viet Nam (2023-2027) termasuk hubungan antara badan-badan perundangan iaitu MMN Brunei Darussalam dan Dewan Rakyat Viet Nam.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN dan Naib Presiden Dewan Rakyat Republik Sosialis Viet Nam juga berbincang mengenai isu-isu semasa dan berharap agar kerjasama dapat diperkukuhkan lagi terutamanya bagi mempelajari antara satu sama lain untuk membangunkan negara dan rantau yang stabil dan makmur.
Rombongan Tuan Yang Terutama berada di NBD bagi Lawatan Rasmi yang diadakan bermula 9 hingga 11 Ogos 2024.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)