Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.03.24 Manfaatkan potensi generasi muda sebagai agen perubahan proaktif

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. -  Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin menerangkan, terdapat pelbagai sektor utama yang sudah kita mengenal pasti dengan memberi fokus utama bagi mengekalkan kemakmuran negara kita seperti keterjaminan air dan tenaga, termasuklah minyak dan gas huluan dan hiliran, peningkatan sara diri dalam bekalan makanan dan juga pertumbuhan sektor pelancongan untuk pertumbuhan negara.

 

Namun, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty  berpendapat ini adalah masa bagi kita membuat transformasi yang besar kerana langkah-langkah kecil yang ada belum lagi memberi impak yang efektif seperti yang dihasratkan.

 

Pada hari terakhir Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN yang bersidang hari ini, Yang Berhormat dalam ucapan penangguhan menyatakan, salah satu aspek penting dalam transformasi ini adalah memanfaatkan potensi generasi muda sebagai agen perubahan yang proaktif. 

 

“Ini juga selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda Yang Ke-77 di mana baginda menyatakan Negara Brunei Darussalam perlu bergerak lebih cepat, dengan menggalakkan lebih banyak Foreign Direct Investment yang berkualiti untuk membantu mempelbagaikan ekonomi, dan dalam masa yang sama, menyediakan peluang pekerjaan dan 'spin off' untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana tempatan," kata Yang Berhormat.

 

Dari segi pendidikan, Yang Berhormat Ahli MMN itu berpendapat bahawa kementerian perlu memberikan perhatian serius terutama bagi transformasi pendidikan teras, untuk meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan 'O' Level yang kekal pada kadar yang rendah untuk 10 tahun kebelakangan. 

 

Hal itu kata Yang Berhormat, membimbangkan kerana ia berkaitan rapat dengan matlamat pertama Wawasan Brunei 2035 iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

 

Dari segi pelancongan tambah Yang Berhormat, juga menggalakkan usaha untuk menarik lebih banyak pelancong ke Negara Brunei Darussalam (NBD) melalui pelbagai acara antarabangsa seperti mengadakan maraton di Jambatan SOAS dan strategi pemasaran yang lebih cekap bukan sahaja untuk menarik minat pelancong tetapi memastikan rakyat kita berbelanja di negara 'kitani'

 

Yang Berhormat  teruja dengan Tourism Industry Roadmap yang dijanjikan dan berharap ia akan dilaksanakan segera bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor pelancongan kita, insyaaAllah.

 

Dalam konteks kesihatan jelas Yang Berhormat, penting bagi kita untuk mengakui perlunya mengurangkan stigma sosial terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental dan sejalan dengan perkembangan dunia digital yang semakin pesat, keprihatinan yang berterusan terhadap perlindungan golongan 'vulnerable' seperti wanita dan kanak-kanak perlu diberikan keutamaan.

 

Selain itu jelas Yang Berhormat, kemakmuran ekonomi kita juga bergantung kepada faktor-faktor seperti kadar penurunan jenayah, kemiskinan, dan pengangguran.

  

Kadar-kadar ini tekan Yang Berhormat, seharusnya dijadikan sebagai indikator bagi kemajuan negara kita dan semakin tinggi kadar peningkatan, seharusnya kita harus bertungkus lumus untuk memperkasa ekonomi kita, mempertingkatkan lagi ekonomi dengan memajukan sektor-sektor seperti pertanian, pelancongan, pengukuhan industri tenaga dan sebagainya.

 

“Pemerkasaan peniaga-peniaga tempatan harus diteruskan, terutama sekali di tapak-tapak perniagaan kerajaan dan bumiputera.

 

“Elemen 'rent seeking' atau konsep 'Ali Baba' di dalam ekonomi kita haruslah dikawal dan digubal satu rang undang-undang untuk menangani isu ini bagi membendung usaha meraih keuntungan 'atas angin'.

 

“Dari segi peluang pelaburan yang baharu, ianya harus diambil dengan cepat, dan kaola mencadangkan satu pasukan khas perlu ditubuhkan untuk memastikan peluang ini dapat direalisasikan dengan berkesan, terutama dengan fokus pada sektor-sektor yang memberikan impak besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

 

"Di samping itu, kita perlu turut serta dalam arena global untuk mempromosikan negara kita, khususnya dalam isu perubahan iklim melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change - ACCC) yang telah dinanti-nantikan. 

 

"Di sini juga kaola berharap, NBD akan terus lebih aktif memainkan peranannya di arena diplomasi dengan rakan serantau bagi mempercepatkan lagi usaha-usaha yang dapat membantu menaikkan imej negara terutama dalam ACCC ini," kata Yang Berhormat.

 

Dalam era ekonomi hijau, Yang Berhormat menyarankan perlunya BNCCP ini untuk disemak semula dengan menetapkan indikator prestasi kunci (KPIs) yang selaras dengan pelan pertumbuhan ekonomi negara seperti penjanaan pekerjaan hijau dan pertumbuhan KDNK di industri hijau.

 

Jelas Yang Berhormat, ini akan dapat membentuk strategi pertumbuhan ekonomi baharu yang lebih mampan dan dalam masa yang sama menjadi salah satu negara peneraju utama dalam kemajuan aktiviti menangani perubahan iklim dengan dan visi yang jelas untuk memanfaatkan keberadaan ACCC di negara ini.

 

Tambah Yang Berhormat, bersama-sama dengan pembangunan ekonomi, tidak lupa juga 'cultural transformation' dalam kerajaan dan ini adalah penting kerana sebagai jentera negara, kita harus merangkul budaya yang menghargai dialog terbuka, ketelusan, dan akauntabiliti, memastikan bahawa suara rakyat kita didengar dan kebimbangan mereka ditangani tanpa rasa bimbang.

 

Terdahulu, Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty memanjatkan rasa syukur kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam masih mampu membiayai belanjawan yang besar untuk pembangunan NBD. 

 

“Kaola yakin bahawa kementerian-kementerian, Government Linked Companies dan pihak-pihak terlibat lainnya, bekerja keras untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dalam mencapai Wawasan Brunei 2035 dan kita perlu mengejar pertumbuhan Brunei tanpa henti," tegas Yang Berhormat.

 

Dalam ucapan penangguhannya juga menekankan, pemimpin dalam sesebuah organisasi juga adalah penting dalam menggerakkan kemajuan dan kita harus mengambil pendekatan berorientasikan hasil dan membina kumpulan pemimpin yang komited kepada inovasi dan keunggulan, dari peringkat tertinggi kerajaan hingga peringkat akar umbi.

 

Rakyat kita yang berpendidikan tinggi kata Yang Berhormat, yang berkhidmat di dalam sektor kerajaan, dengan kekayaan pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki, haruslah dimanfaatkan sebaiknya pandangan mereka untuk memaklumkan pembuatan dasar kita. 

 

“Kaola percaya mereka juga mempunyai pelbagai cita-cita dan aspirasi untuk meneraju

pembangunan negara bersama.

 

“Akhirnya, mari kita singkirkan sebarang kekangan dan merangkul semangat, cita-cita dan keazaman yang tinggi dalam mengejar aspirasi negara kita.

 

“Idea negara kita yang sangat kecil dari pelbagai aspek, pada kaola perlu dikembangluaskan. bak kata pepatah, 'Kecil-kecil Cili Padi', NBD meskipun kecil haruslah berani mengharungi cabaran yang sangat kompleks ini.

 

'Lead by example', insyaaAllah, rakyat akan mengikut juga dan dengan mencabar diri untuk melampaui batasan yang dilihat, kita dapat menggenggam penuh potensi negara dan mencapai kemajuan seiring dengan impian kita," ujar Yang Berhormat lagi.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

23.03.24 Manfaatkan potensi generasi muda sebagai agen perubahan proaktif