Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

23.03.24 Memastikan kesejahteraan, keamanan, kemakmuran negara terus terjamin

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. - Dalam pembentangan cadangan belanjawan tahun kewangan yang membawa tema 'Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur' membawa banyak makna dan memberikan harapan yang cukup besar bagi setiap lapisan masyarakat baik di sektor kerajaan, swasta dan rakyat serta penduduk negara ini.

 

“Kaola sambut baik peruntukan dan telah menyokong untuk diluluskan.

 

“Bersyukur kita kerana menjadi rakyat yang mendapat dan menikmati rahmat bernaung dalam Negara Brunei Darussalam yang mempunyai raja dan kepala negara wali amri yang prihatin akan kesejahteraan rakyat, kemakmuran dan keamanan negara.

 

“Masing-masing 'kitani' mengambil peranan dan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan bersungguh-sungguh dalam sama-sama memastikan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran negara akan terus terjamin," jelas Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin  dalam ucapan penangguhan pada hari terakhir persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 MMN, yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

 

“Rakyat berharapan penuh bahawa belanjawan tahun ini dengan inisiatif-inisiatif dan pelan-pelan tindakan dan dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 yang akan dilaksanakan oleh kementerian akan boleh meringankan sedikit beban ekonomi yang ditanggung oleh sebahagian besar rakyat yang bergantung kepada belanjawan dan projek-projek kerajaan dan juga mana-mana aktiviti yang menaiktarafkan kehidupan rakyat masa ini dan untuk anak-anak mereka di masa hadapan.

 

“Kaola juga beruntung dan berterima kasih diberi peluang oleh Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang telah membawa kaola dan teman-teman menghadiri sesi perundingan di peringkat antarabangsa seperti menghadiri Mesyuarat ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) untuk pendedahan pada isu-isu serantau dan global dan secara tidak langsung menimba pengalaman bagaimana 'legislative' di luar negara membuat penampilan," kata Yang Berhormat.

 

Sementara itu kata Yang Berhormat lagi, untuk membantu mengukuhkan isu-isu dan keluhan rakyat untuk dibincangkan di dalam dewan dengan fakta-fakta agar strategik, Yang Berhormat telah mengambil beberapa anak-anak 'kitani', iaitu graduan lepasan universiti tempatan dan luar negara yang masih menunggu rezeki pekerjaan tetap serta membantu membuat 'research' secara 'part time' dan seperti kelainan yang tahun lepas, 'research assistants' telah membuat penilaian awal mengenai keberkesanan isu-isu yang telah ditimbulkan di dalam dewan ini.

 

“Kaola tidak akan berhajat untuk mengulang lagi isu-isu yang telah dibangkitkan di dalam dewan hanya setakat mengingatkan 'headline' berikut, iaitu mengenai ekonomi, mohon kaji selidik semula bagaimana bisnes-bisnes yang meraih untung besar di dalam negara sama ada 'business' persendirian, orang luar yang datang 'overnight flyer' diteliti untuk menyumbang ke khazanah negara.

 

“Pendidikan, kalau kejayaan PISA dan 'O'' Level adalah sebagai sukat-sukat petanda kejayaan negara ke arah Wawasan Brunei 2035, matlamat nombor satu dan masih banyak peningkatan pendidikan 'kitani' belum dikatakan berjaya dan berkesan.

 

“Pengangguran, menyediakan 12 ribu pekerjaan setahun tidak cukup untuk mengurangkan pengangguran dalam kalangan anak-anak muda 'kitani' walhal 'kitani' ada banyak warga masih meraih rezeki mereka di sini dan kaedah perlu menjadikan anak tempatan lebih cepat mengisikan kerja yang sedia ada dalam negeri seperti mencari industri baharu untuk menjana pekerjaan baru;

 

“Perumahan, apa perlu 'kitani' perlukan untuk mengurangkan 'waiting list' rakyat yang ingin mempunyai rumah yang selesa? dan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12, pengajaran dari RKN-11 perlu diambil kira agar RKN-12 akan disiapkan seperti dikehendaki; dan perhubungan, rezeki tidak datang bergolek, mesti juga dicari,  apabila yang datang kecil tapak tangan, nyiru perlu ditadahkan," ujar Yang Berhormat.

 

Yang Berhormat juga turut teruja dan mengambil baik jaminan Yang Berhormat Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang pihak kementerian-kementerian akan meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam dewan ini untuk melihat kesesuaiannya dan teruskan dengan sesi muzakarah di luar Dewan, insyaaAllah akan diusahakan.

 

“Kaola dengan Ahli-ahli Yang Berhormat berharap penuh sekurang-kurangnya ada sesi 'mid-term review' bersama pihak kementerian untuk mendapat pendekatan status pencapaian jika pada waktu yang sama memberi peluang pada pihak kementerian memberi pendekatan awal tentang peruntukan-peruntukan dan bajet-bajet yang bakal dipohonkan untuk tahun hadapan," ujar Yang Berhormat lagi.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

23.03.24 Memastikan kesejahteraan, keamanan, kemakmuran negara terus terjamin