Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

07.10.23 Majlis Sambutan Maulidur Rasul Anjuran Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 7 Oktober 2023 – Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah sebuah acara keugamaan yang disambut setiap tahun di peringkat kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan Negara Brunei Darussalam.  Sambutan ini bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW. Pada tahun ini Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat telah mengetengahkan tema ceramah sempena sambutan yang cukup signifikan dan bertepatan dengan situasi semasa iaitu “Sunnah Rasulullah, Panduan Kehidupan". Sunnah Rasulullah merupakan pengajaran dan tauladan yang baik kepada umat Islam termasuk masyarakat yang bukan beragama Islam di negara ini.  Sesi ceramah tersebut telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Omar, Pengarah Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama'ah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.


Majlis tahunan ini dianjurkan oleh Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang disertai oleh seluruh pegawai dan kakitangan di Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.  Hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.  Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat; serta Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara.


Melalui penganjuran ini diharap dapat mencapai penyatuan semangat, perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasulullah SAW yang sentiasa menyayangi dan merindui umatnya. Sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang adalah tanda kita mengasihi kehidupannya.




07.10.23 Majlis Sambutan Maulidur Rasul Anjuran Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat