Jakarta, Indonesia, 10 Ogos 2023 – Majlis Mesyuarat Negara telah menghadiri sebuah Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly Ke-44 yang diadakan pada 5 hingga 10 Ogos 2023, betempat di Jakarta, Indonesia yang telah dihoskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia. Rombongan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; berserta Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat; berserta sebelas (11) orang Ahli Majlis Mesyuarat Negara; dan beberapa orang pegawai Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.
Selaras dengan “Spirit of ASEAN", Perhimpunan Agung AIPA mengambil peranan penting di dalam menghidupkan dan memperkukuhkan komitmen Ahli Parlimen ASEAN demi keamanan, kestabilan dan pertumbuhan rantau ASEAN. Tema Perhimpunan Agung AIPA ke-44 tahun ini "Responsive Parliaments for a Stable and Prosperous ASEAN" adalah sangat tepat pada masanya dan relevan kerana ianya menggariskan peranan parlimen didalam merespon kepada keperluan rakyat dan kepentingan bekerja secara kolaboratif antara negara untuk kestabilan dan kemakmuran serantau.
Dalam perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Perhimpunan Agung AIPA ke-44, Baginda telah menekankan mengenai kepentingan kestabilan politik di rantau ASEAN didalam mencapai Komuniti ASEAN yang aman, stabil dan makmur. Mengekalkan perpaduan dan relevance dalam rantau ini adalah penting, dengan cabaran yang memerlukan tindak balas secara kolektif dan berkerjasama. Rakyat sebagai teras kekuatan Komuniti ASEAN mencerminkan tema ASEAN pada tahun ini “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth".
Di dalam perutusan Baginda juga menyatakan gangguan bekalan makanan global dan ketegangan geopolitik menggariskan keperluan bagi rantaian bekalan pertanian yang berdaya tahan, sistem pengeluaran mampan dan kemajuan teknologi dalam sektor pertanian makanan. Ahli Parlimen AIPA dijangka akan meningkatkan usaha ASEAN dalam merealisasikan matlamat ini dan memupuk kerjasama serantau. Baginda juga menekankan perkongsian penting antara ASEAN dan AIPA, melalui ASEAN Leaders' Interface with AIPA semasa Sidang Kemuncak ASEAN Summit Ke-42 yang telah diadakan pada bulan Mei 2023 di Labuan Bajo. Platform tersebut telah memudahkan dialog mengenai kebimbangan bersama, memperkaya kerjasama antara kedua-dua entiti.
Di dalam perutusan Baginda juga telah menyatakan agenda Perhimpunan Agung AIPA ke-44 kekal berkaitan dengan cabaran serantau dan global, yang memerlukan penyelesaian secara kolaboratif. Negara Brunei Darussalam berikrar untuk memberikan sokongan berterusan, menggariskan matlamat bersama bagi meningkatkan kebajikan kolektif ASEAN.
Dalam kenyataan Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara semasa Sidang Plenari Pertama, Yang Berhormat telah menyatakan parlimen berperanan sebagai wakil rakyat dan perlu memastikan keputusan dan tindakan yang dibuat adalah mengikut keperluan rakyat. Tindakan-tindakan yang diambil juga hendaklah telus untuk penduduk dan rakyat secara amnya, seterusnya mengurangkan jurang antara urus tadbir dan aspirasi rakyat. Yang Berhormat menyatakan bahawa negara bergerak maju ke hadapan dan terus komited di dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 (2030 Agenda for Sustainable Development), selaras dengan Wawasan Negara Brunei 2035. Seruan untuk pelaksanaan segera Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) tidak boleh dihalang didalam merealisasikan matlamat SDG, khususnya tindakan segera dalam memerangi perubahan iklim. Peralihan yang ketara dan ketidakpastian iklim global telah menghalang banyak negara dan keupayaannya untuk mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung terhadap kemajuan sosial dan ekonominya dengan berkesan. Kerajaan memainkan peranan sebagai pemimpin dan badan eksekutif dalam memacu Matlamat Pembangunan Mampan perlu berganding dan berkerjasama dengan parlimen yang terlibat secara aktif dalam usaha tersebut, seterusnya membina komuniti ASEAN yang stabil dan makmur untuk kepentingan generasi masa kini dan yang akan datang.
Perhimpunan Agung AIPA Ke-44 telah dibuka rasmi oleh H.E. Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia. Di dalam ucapan rasminya, Presiden Republik Indonesia telah menekankan kepentingan parlimen dalam mencerminkan dan memperjuangkan aspirasi dan kepentingan rakyat. Beliau menyatakan bahawa ASEAN telah menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau selama 56 tahun tetapi masih perlu mengekalkan usaha demi keamanan yang berterusan. Di dalam ucapannya juga, Presiden Joko Widodo menyatakan bahawa perpaduan ASEAN adalah penting dalam memenuhi peranan utamanya agar ianya kekal relevan. Beliau menyatakan bahawa Asia Tenggara adalah pemacu pertumbuhan global dan perlu memastikan ASEAN kekal sebagai pusat pertumbuhan ekonomi global.
H.E. Dr. (Honoris Kausa) Puan Maharani, Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia dan Presiden AIPA Ke-44 di dalam ucapan pertamanya semasa Majlis Perasmian Perhimpunan Agung AIPA Ke-44 telah menekankan cabaran berterusan global yang mendesak termasuk ketegangan geopolitik, ketidaksamaan ekonomi, ancaman perubahan iklim dan perjuangan pemulihan pasca-pandemi. Di bawah tema Perhimpunan Agung tahun ini, beliau menyatakan kepentingan platform ini dalam meningkatkan komitmen penggubal undang-undang menangani isu serantau dan global, ke arah keamanan dan kemakmuran. Beliau juga telah menggariskan beberapa agenda strategik termasuk keperluan bagi AIPA memperkukuhkan dedikasi dalam mengekalkan perpaduan bersama-sama ASEAN. Di sebalik cabaran negara masing-masing, beliau menekankan bahawa perpaduan kolektif ASEAN harus dipertahankan untuk memupuk sokongan dan kekuatan kerjasama bersama. Manakala, cabaran seperti kemiskinan, ketidaksamaan dan kebimbangan alam sekitar memerlukan kerjasama seluruh dunia. Ucapan beliau juga menyatakan mengenai peranan dialog antara negara AIPA dan negara pemerhati dalam mempromosikan diplomasi pencegahan dan membina hubungan yang berpotensi selaras dengan tema Perhimpunan Agung AIPA tahun ini di dalam mencari titik persamaan dan memastikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran rantau ASEAN di dalam kerjasama tersebut.
Sebanyak 30 resolusi telah dibincangkan dan diluluskan di dalam komiti Young Parliamentarian (YPA), Women of AIPA (WAIPA), Politik, Ekonomi, Sosial dan Organisasi. Perhimpunan Agung AIPA KE-44 diakhiri dengan sebuah Kenyataan Bersama (Joint Communique) secara sebulat suara yang ditandatangani oleh negara-negara Ahli AIPA Parlimen. Pada Majlis Transfer of Office yang diadakan semasa penutup tirai Perhimpunan Agung AIPA Ke-44, Negara Lao PDR telah menerima AIPA Chairmanship sebagai hos seterusnya bagi Perhimpunan Agung AIPA yang akan diadakan pada tahun hadapan.