Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

04.06.23 Muzakarah Beriga USMS Di Belait

BELAIT, 4 JUN – Para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait telah menghadiri Muzakarah Sistem Pemeteran Pintar Bersepadu (USMS) baharu yang diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Belait, kelmarin.

Dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perkhidmatan Air dan DST Network Sdn Bhd, sesi itu bertujuan untuk menyampaikan maklumat serta menjawab soalan yang mungkin ada mengenai sistem bersepadu baharu pemantauan penggunaan elektrik dan air secara digital, kecekapannya berbanding sistem lama dan faedahnya kepada pengguna.

Penolong Pengurus Teknikal di DST Network Sdn Bhd, Awang Amzizul Fadzillah bin Haji Shahbudin telah menjelaskan beberapa manfaatnya.

“USMS membolehkan pengguna menambah nilai tanpa memerlukan kad dan mema-sukkan nombor secara manual. Mereka boleh menyemak baki melalui telefon, dalam talian serta melalui kedai runcit yang dibenarkan dikenali sebagai e-dealer,” jelas beliau.

Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin pula menyatakan bahawa muzakarah itu merupakan satu inisiatif yang baik untuk membantu memaklumkan kepada pemimpin-pemimpin dan ahli utama masyarakat.

“USMS adalah selaras dengan peningkatan usaha untuk mendigitalkan negara di bawah Wawasan Brunei 2035,” ujar beliau sambil menambah bahawa USMS juga bermanfaat untuk rakyat negara kerana ia membantu menyelaraskan pemantauan penggunaan air dan elektrik di bawah satu sistem.

“Saya berharap sistem ini akan terus melihat penerimaan meluas di seluruh negara dan muzakarah ini adalah salah satu langkah pertama dalam menyediakan asas untuk memahami sistem yang sedia ada,” tambah beliau.

JPE, Jabatan Perkhidmatan Air dan DST Network Sdn Bhd menjangkakan sekitar
250,000 meter diganti di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Muzakarah seumpamanya juga telah diadakan di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong, dengan rancangan untuk satu lagi diadakan di Daerah Temburong.

Hadir semasa muzakarah di Daerah Belait ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman selaku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann selaku Ketua Kampung Bukit Sawat, serta Pemangku Timbalan Pengarah Perkhidmatan Elektrik (Pertumbuhan dan Sokongan), Awang Abdul Salam bin Haji Abdul Wahab.​


(Sumber berita: Media Permata)


04.06.23 Muzakarah Beriga USMS Di Belait