Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

02.06.23 Semai Kesedaran Gaya Hidup Sihat

TUTONG, 2 JUN – Demi sama-sama menyemai kesedaran tentang gaya hidup sihat sambil melestarikan keindahan alam sekitar, lebih 10 belia dan beliawanis Daerah Tutong telah meluangkan masa mereka mendaki Bukit Ambog di Taman Rekreasi Sungai Basong, di sini, sambil mengutip sampah-sarap di sekitarnya, baru-baru ini.

Turut menyertai aktiviti tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Muhammad Sofian bin Haji Basri.

Menurut Yang Berhormat Awang Abdul Aziz juga selaku Pengerusi IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong, aktiviti itu adalah salah satu aktiviti santai yang memberi peluang golongan belia melibatkan diri secara aktif dan menyumbangkan tenaga mereka bersama sukarelawan khususnya di daerah tempat mereka menetap.

Di samping itu, golongan belia perlu membuka minda mereka dalam sama-sama mengemukakan idea sambil bersantai dan bersuai kenal bersama Pemangku Pegawai Daerah Tutong.

Yang Berhormat Awang Abdul Aziz menambah, antara aktiviti yang dilakukan sambil mendaki bukit ialah mengutip sampah sarap yang ada di sepanjang laluan yang sememangnya secara tidak langsung dapat membuka mata betapa pentingnya selaku masyarakat menjaga kebersihan lebih-lebih lagi di kawasan awam dan riadah.

“Jadi saya berharap agar aktiviti ini akan dapat diteruskan dan dilaratkan lagi di tempat-tempat lain dan kepada orang ramai jika menggunakan tempat-tempat riadah perlulah sentiasa menekankan tanggungjawab masing-masing untuk terus menjaga kebersihan di kawasan berkenaan.

“Buanglah sampah seperti botol mahu pun kotak minuman di dalam plastik sampah yang disediakan jika tidak ada tong sampah, perlu dibawa balik dan buang di tempat tong sampah yang dikhaskan,” tekannya.​

(Sumber berita: Media Permata)


02.06.23 Semai Kesedaran Gaya Hidup Sihat