Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

30.05.23 YDP MMN Terima Kunjungan Hormat

Bandar Seri Begawan, Selasa, 30 Mei 2023 – Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara hari ini telah menerima tiga kunjungan hormat daripada ketua-ketua perwakilan asing di negara di Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat hari ini.

 

Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuart Negara telah menerima kunjungan hormat daripada Puan Yang Terutama Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam; Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich Baranov, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam; dan Puan Yang Terutama Caryn Roberta McClelland, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam. Kunjungan Hormat tersebut diadakan secara berasingan.

 

Semasa kunjungan hormat PYT Marian Jocelyn R. Tirol-Ignacio, kedua-dua belah pihak telah merakamkan rasa penghargaan atas hubungan kerjasama yang terjalin dan berharap ianya akan sentiasa berkembang.  Kedua-dua pihak juga menekankan kepentingan people-to-people exchange termasuk pertukaran maklumat, lawatan dan sebagainya bagi memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan yang baik dan rapat antara kedua-dua negara.  Dalam perkara ini, Puan Yang Terutama juga merakamkan penghargaan atas penerimaan lawatan kerja daripada Bangsamoro Attorney General's Office (BAGO) ke Dewan Majlis baru-baru ini dan menyatakan bahawa melalui lawatan tersebut, pihak BAGO dapat mempelajari dan memahami banyak aspek dan tatacara perundangan (legislation) dan amalan-amalan terbaik (best practices) di negara ini.

 

Antara lain juga, kedua-dua pihak juga membincangkan mengenai beberapa perkara yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama seperti di dalam menerokai peluang kerjasama dalam bidang pendidikan dan juga perdagangan.  Di dalam perbincangan tersebut juga, kedua-dua pihak merasa bangga atas pencapaian dan perkembangan penglibatan wanita yang amat ketara di kedua-dua negara dan berharap ianya akan terus diperkukuhkan lagi.

 

Sementara itu, dalam kunjungan hormat bersama dengan Tuan Yang Terutama Mikhail Vladimirovich, kedua-dua pihak telah menyentuh mengenai pertukaran lawatan antara kedua-dua pihak yang pernah dibuat pada beberapa tahun yang lalu.  Kedua-dua pihak berharap bahawa hubungan dua hala yang terjalin ini sentiasa akan dapat diperkuatkan dan menekankan juga bahawa hubungan antara parlimen dan keugamaan adalah antara hubungan yang penting sebagai penyumbang kepada pengkukuhan hubungan antara kedua-dua negara. 

 

Manakala di dalam kunjungan hormat bersama dengan Puan Yang Terutama Caryn Roberta McClelland, kedua-dua pihak telah menyentuh dan membincangkan mengenai Persidangan Majlis Mesyuarat Negara yang lepas. Di dalam perbincangan tersebut, Yang Di-Pertua MMN telah mengongsikan maklumat mengenai lantikan-lantikan Ahli Majlis Mesyuarat Negara termasuk peranan dan tanggungjawab Ahli sebagai suara dan wakil kepada rakyat negara mengikut juga zon-zon masing-masing.  Dalam pada ini, ianya memudahkan rakyat untuk dapat menyuarakan pendapat dan pertanyaan secara tidak langsung.

 

Kedua-dua pihak juga menyentuh mengenai perubahan norma selepas wabak pandemik termasuk cara-cara pekerjaan yang dibuat dan juga di pelbagai aspek seperti perlaksanaan program dan mesyuarat yang dapat dibuat secara virtual dan membantu di dalam penjimatan kos dan masa.  Walaubagaimanapun, kedua-dua pihak juga menekankan bahawa interaksi secara bersemuka juga adalah penting dari masa ke semasa dan di dalam hal-hal yang berkepentingan.

 

Di dalam perkara lain, kedua-dua pihak juga telah bertukar-tukar pendapat dan buah fikiran dalam bidang-bidang yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama termasuk pelaburan dan perdagangan.





30.05.23 YDP MMN Terima Kunjungan Hormat