Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

16.05.23 Beriga peranan Sekretariat MPEC

​BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Siri pertama Program Akar Umbi anjuran Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah diadakan di Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, Jalan Lapangan Terbang Lama, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Kamal Ariffin bin Pengiran Haji Mohd Yassin

Program berkenaan turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Mohamed, Yang Berhormat Awang Mohamad Ali bin Tanjong dan Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan, serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Brunei dan Muara.

Pemangku Ketua Sekretariat Tetap MPEC, Hajah Noraini binti Haji Mohamad Jamudin dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan tujuan program adalah untuk menyediakan platform bagi meningkatkan kesedaran mengenai penubuhan Sekretariat Tetap MPEC.

Selain itu, program juga menjelaskan fungsi, peranan serta inisiatif yang diungkayahkan oleh Sekretariat Tetap MPEC yang mana ia dihasratkan dapat diberigakan melalui para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung selaku pemimpin-pemimpin akar umbi.

Beliau turut menekankan mengenai fokus program kepada isu-isu yang dihadapi oleh anak-anak kampung terutama sekali dalam hal ehwal pekerjaan serta memupuk persefahaman.

Semasa program itu, taklimat mengenai JobCentre Brunei juga disampaikan dalam menyediakan peluang-peluang berkaitan kepada anak-anak tempatan untuk menjadi lebih employable dan marketable ke arah mendapatkan pekerjaan.

Program berkenaan akan dilaratkan ke daerah-daerah lain sebagai platform dialog bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh anak-anak kampung dan bertukar-tukar pandangan serta cadangan terutama sekali dalam hal ehwal pekerjaan.

(Sumber berita: Media Permata)

16.05.23 Beriga peranan Sekretariat MPEC