Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

06.12.24 Pesta Pantai Muara : Memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat

​BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 Disember. - Majlis Perundingan Mukim (MPM) Serasa dan MPM Mentiri dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara (DBM) mengadakan Pesta Pantai Muara 2024 selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Disember 2024, bertempat di Taman Rekreasi Pantai Muara.


Sehubungan dengan itu, hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan pesta pantai berkenaan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, yang juga selaku Penghulu Mukim Lumapas.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Doa Selamat dan disusuli dengan Majlis Perasmian Pesta Pantai berkenaan.


Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat dibawa ke tapak memanah untuk melakukan aktiviti memanah dan kemudian melawat ke tapak-tapak aktiviti yang diadakan serta kem-kem jualan.


Pesta Pantai Muara 2024 merupakan acara yang diadakan bagi mengumpulkan masyarakat kedua-dua mukim serta warga setempat berkumpul bersama keluarga dan juga orang ramai yang terdiri daripada pengunjung pelbagai peringkat lapisan umur untuk menikmati serta mengikuti aktiviti-aktiviti luar yang menarik di sepanjang tiga hari ia diadakan.


Acara berkenaan antara lainnya bertujuan untuk melakukan riadah luar yang bersesuaian dengan mengadakan acara sukan ringan secara kekeluargaan, memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat, dan memberi peluang kepada komuniti daripada kedua-dua mukim untuk menjalankan aktiviti berniaga sekali gus mempromosikan Taman Rekreasi Pantai Muara sebagai kunjungan bersama keluarga semasa cuti persekolahan penghujung tahun.


(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

06.12.24  Pesta Pantai Muara : Memupuk semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat