BERAKAS, Selasa, 3 Disember. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menghargai inisiatif-inisiatif oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) untuk turun padang bermuzakarah dengan pihak-pihak berkepentingan lebih-lebih lagi dengan para penduduk di bawah jagaan masing-masing bertujuan untuk mengenalpasti isu yang dihadapi.
Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut dalam ucapan alu-aluan pada Sesi Permuzakarahan antara Ahli-Ahli MMN dengan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang diadakan pagi tadi di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Dalam ucapan tersebut, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai Sistem Integrasi di mana Sekolah Ugama akan terus diperkembangkan melalui Sistem Integrasi mata pelajaran ugama ke dalam sistem persekolahan umum.
Sesi muzakarah diikuti dengan ucapan balas daripada Ketua Rombongan Ahli-Ahli MMN yang antara lain, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan menyambut baik sesi permuzakarahan pagi ini sebagai platform untuk berkongsi pandangan dan saranan dalam sama-sama menangani isu-isu yang berkaitan dengan KHEU dan seterusnya beroleh penyelesaian yang bermanfaat.
Seterusnya, taklimat mengenai KHEU disampaikan oleh Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.
Beliau antara lain menyambut baik inisiatif Yang Berhormat Ahli-Ahli MMN yang dilantik yang telah mengadakan lawatan kerja di beberapa buah jabatan di bawah KHEU.
Taklimat juga mengongsikan mengenai kejayaan dalam pembelajaran dan pengajaran Al-Quran secara menyeluruh di peringkat kanak-kanak, kebangsaan dan antarabangsa dengan pendekatan Whole of Nation serta inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan bagi menjayakan Sistem Integrasi mata pelajaran ugama ke dalam sistem persekolahan umum.
Atur cara diteruskan dengan Sesi Permuzakarahan antara Ahli-Ahli MMN dengan pihak KHEU yang memfokuskan kepada empat pembentangan isu-isu strategik iaitu peluang-peluang pekerjaan kepada lepasan graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); isu kebersihan tandas dan tempat wuduk masjid; projek penurunan kes jenayah syariah memfokuskan kesalahan-kesalahan seksual (perbuatan zina); dan cadangan strategi perhubungan awam untuk mempertingkatkan pemahaman awam terhadap perkhidmatan ugama di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sesi permuzakarahan merupakan acara tahunan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerja KHEU dengan Ahli-Ahli MMN dalam sama-sama menyumbang ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara ini khususnya mengenai perkhidmatan ugama agar terus berkembang maju.
Bahkan, sesi permuzakarahan ini juga merupakan wadah untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu-isu berbangkit dan menambahbaik cara pelaksanaan perkhidmatan ugama di NBD.
Terdahulu sebelum sesi permuzakarahan bermula, Ahli-Ahli MMN berpeluang menyaksikan pameran mengenai perkhidmatan ugama dikendalikan oleh jabatan-jabatan dan bahagian-bahagian di bawah KHEU.
Hadir sama pada sesi permuzakarahan tersebut, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; serta ketua-ketua jabatan dan bahagian di bawah KHEU.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)