Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

20.08.24 Penubuhan KUUB untuk bersaing di peringkat antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Inisiatif penubuhan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) bukan hanya bertujuan meningkatkan komitmen dan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi di Borneo, tetapi juga memainkan peranan penting dalam menyokong kecemerlangan akademik, meningkatkan keupayaan dan memperkukuhkan pengantarabangsaan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Inisiatif tersebut amat penting bukan sahaja bagi memajukan pendidikan tinggi di Borneo, tetapi juga untuk memastikan bahawa kita dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

Ia adalah satu langkah ke hadapan yang akan membawa banyak manfaat kepada semua pihak yang terlibat dan lebih penting lagi, kepada generasi masa hadapan.

Pandangan positif berkenaan antara yang dijelaskan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Konvensyen KUUB 2024 yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.

Yang Berhormat Hajah Rosmawatty turut menyentuh salah satu aktiviti di bawah konvensyen berkenaan adalah Persidangan Antarabangsa Seni Kreatif, Reka Bentuk dan Teknologi (ICCArTe) 2024 di mana tema bagi persidangan antarabangsa buat kali pertama itu sangat bertepatan kerana seni adalah cermin kepada identiti budaya kita. 

Melalui elemen-elemen itu, kita dapat memahami dan menghargai siapa diri kita dalam komuniti yang lebih besar.

Jelasnya lagi, budaya dan seni bukan sahaja menjadi asas kepada pembentukan masyarakat, tetapi juga menggambarkan perkongsian pengalaman dan penetapan nilai-nilai yang kita amalkan dalam kehidupan seharian serta dalam melaksanakan tanggungjawab kita demi mencapai matlamat komuniti dan negara.

Budaya dan seni dari Kepulauan Borneo adalah sangat kaya dengan kepelbagaian, turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya dan disesuaikan dengan perubahan dunia yang terdapat di sekeliling kita.

“Begitu juga dengan Negara Brunei Darussalam, ia diperkaya oleh prinsip Islam dan adat resam tempatan yang menampakkan dirinya dalam amalan harian, segala upacara, dari segi bentuk seni yang mentakrifkan kami di sini.

Komitmen kita terhadap budaya dan seni bukan hanya melangkaui pemulihan dan pemeliharaan, malah merangkumi inovasi dan perkembangan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Hajah Rosmawatty turut berkata bahawa zaman kemodenan dan kemajuan teknologi ini harus diintegrasikan ke dalam ekspresi budaya kita.

Dengan cara demikian, kita akan mewujudkan dialog antara masa lalu dan masa kini, dan memperkayakan landskap budaya kita menjadikannya relevan dalam dunia semasa kini.

“Justeru itu, kepentingan Konvensyen KUUB ini adalah sebagai platform kepada universiti untuk mencari amalan terbaik dalam pembelajaran dan pengajaran bagi mengharmonikan budaya dan seni ke dalam inovasi pada masa ini dan hadapan,” jelasnya lagi sebelum menyempurnakan perasmian Konvensyen KUUB tersebut.​

(Sumber berita & gambar: Media Permata)​

20.08.24 Penubuhan KUUB untuk bersaing di peringkat antarabangsa