TUTONG, 16 OGOS – Dengan komitmen berterusan Brunei LNG Sdn Bhd dalam
sama-sama menyokong secara aktif usaha komuniti demi masa depan yang
mampan, satu acara kempen kebersihan pantai telah diungkayahkan di
sepanjang Pantai Seri Kenangan dan Jalan Pengasing di Daerah Tutong,
pagi tadi.
Acara yang dilaksanakan dengan kerjasama Green Brunei itu antara-nya
bertujuan untuk memberikan peluang yang baik kepada pasukan kepimpinan
dan para kakitangan Brunei LNG termasuklah golongan pekerja Brunei LNG
di bawah kumpulan BLNGolden Hearts dan BLNG Eco Eagles untuk
memanfaatkan masa lapang bersama warga Daerah Tutong menerusi aktiviti
kempen tersebut.
Antara yang terlibat menjayakan aktiviti kempen berkenaan ialah
Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Bandaran Tutong; golongan pelajar
terdiri dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB) dan pelajar-pelajar
dalam Program Keusahawanan Kemampanan Sekolah Menengah Muda Hashim
Tutong (SMMHT).
Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat sekali gus bersama-sama
menyertai kempen berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang
Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Turut hadir, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang
Abdul Aziz bin Haji Hamdan, selaku Ketua Kampung Sengkarai Daerah
Tutong; dan Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal
bin Haji Yahya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG, Adeleye
Falade, bersama dengan Pengurus Aset, Haji Zalani bin Haji Lalim dalam
ucapan perasmian mereka menekankan kebersihan sebagai keutamaan di
Brunei LNG, dan juga menitikberatkan akan kepentingan bekerjasama dengan
masyarakat untuk memupuk rasa tanggungjawab dan pemilikan dalam usaha
memastikan komuniti yang lebih kukuh serta lebih prihatin terhadap alam
sekitar yang komited untuk melindungi persekitaran semula jadi.
Menerusi kempen tersebut sejumlah 466.07 kilogram sisa yang terdiri
daripada botol kosong, beg plastik, sisa makanan dan pelbagai barangan
lain berjaya dikumpul.
Dengan mempromosikan amalan kemampanan dan menyebarkan kesedaran
kepada penduduk tentang kesan sisa, Brunei LNG menggalakkan tindakan
berterusan dalam mengekalkan dan menambah baik persekitaran setempat, di
samping tetap berdedikasi untuk menyemai penjagaan alam sekitar pada
jangka panjang dalam komuniti agar mewujudkan Negara Brunei Darussalam
yang lebih bersih dan mampan.
(Sumber berita & gambar: Media Permata)