​BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Jun. - Seramai 10 peserta Leadership Programme for Young and Future Leaders of Timor-Leste for ASEAN mengadakan lawatan ke Bangunan Dewan Majlis, Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, di sini.
Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Timor-Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres bersama para pegawai penyelaras program.
Program dimulakan dengan taklimat dari Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat terutamanya peranannya selaku Urus Setia kepada Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Taklimat juga turut mengongsikan makluman berkenaan proses dan prosedur Persidangan MMN berpandukan kepada Peraturan-peraturan Mesyuarat (Standing Order).
Para peserta juga berkesempatan untuk mendengarkan taklimat berkenaan penyertaan MMN di mesyuarat-mesyuarat dan persidangan antarabangsa serta rancangan untuk meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan.
Program diteruskan dengan sesi dialog, dengan para peserta berpeluang berinteraksi untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pendekatan MMN dalam menangani isu-isu semasa.
Dialog juga membincangkan peluang untuk meneroka serta meluaskan kerjasama dengan MMN.
Di akhir program lawatan berkenaan, para peserta turut membuat lawatan ke Dewan Persidangan (Chamber).
Lawatan berkenaan antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan dan mengongsikan maklumat mengenai peranan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat khususnya berkaitan dengan MMN.
Selain itu, ia juga adalah untuk memahami dengan lebih mendalam mengenai penyertaan MMN di dalam negara termasuk di peringkat serantau serta antarabangsa.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)