BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Jun. - Sebagai satu inisiatif bagi memperkenalkan dan membarigakan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan pertubuhan ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) kepada golongan belia di negara, satu program pembarigaan telah diadakan iaitu Program 'AIPA Roadshow' bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan Dewan Majlis pada pagi tadi.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh MMN dan Sekretariat AIPA, dan disokong oleh Majlis Belia Brunei.
Seramai 147 orang telah menyertai program tersebut terdiri daripada golongan belia dari universiti, institusi-institusi pengajian tinggi dan Civil Society Organisations (CSOs) di Negara Brunei Darussalam.
Hadir bagi merasmikan program tersebut, Pemangku Timbalan Jurutulis MMN, Pengiran Hajah Zaidah binti Pengiran Haji Petra.
Dalam ucapan alu-aluan, beliau telah menyatakan bahawa MMN, sebagai badan perundangan utama negara adalah komited dalam mewakili kepentingan rakyat dan mencipta persekitaran inklusif.
Menurutnya, pemerkasa belia melalui pendidikan dan penyertaan dalam proses parlimen adalah penting untuk pembangunan mampan dan kerjasama serantau.
Beliau berharap melalui program tersebut akan memberi kefahaman mendalam tentang peranan dan fungsi MMN dan AIPA, serta menggalakkan penglibatan belia dalam memainkan peranan dalam menangani cabaran serantau dan global melalui diplomasi parlimen.
“Penglibatan belia adalah penting untuk membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif," ujarnya lagi.
Dalam taklimat pengenalan MMN, sebagai ahli kepada pertubuhan AIPA, berpeluang untuk memberikan pendedahan kepada belia mengenai fungsi dan peranan MMN.
MMN merupakan landasan penting dalam proses pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang bertanggungjawab dalam penggubalan undang-undang.
Program seterusnya turut menyampaikan taklimat yang memberikan kefahaman komprehensif tentang peranan AIPA dalam memajukan kerjasama serantau melalui diplomasi parlimen serta menggalakkan dialog antara ahli parlimen dan belia.
Program AIPA Roadshow tersebut bertujuan untuk menggalakkan penglibatan belia dalam perkembangan komuniti ASEAN, mengukuhkan hubungan kerjasama dan meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinan dan kepentingan rantau ASEAN.
Atur cara program juga termasuk sesi dialog yang disertai oleh beberapa ahli panel, terdiri daripada Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee; dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Turut serta sebagai ahli panel semasa sesi dialog tersebut, Setiausaha Agung AIPA, Puan Yang Terutama Ar. Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman; Pemangku Timbalan Jurutulis MMN; dan Awang Muhammad Zainul-Akhyaar bin Amer Hairunuddin selaku wakil ASEAN Youth Negara Brunei Darussalam.
Sesi tersebut memberi peluang kepada para peserta program untuk berinteraksi dengan ahli panel dalam menyuarakan pendapat dan pandangan.
Program diakhiri dengan sesi lawatan ke Dewan Persidangan MMN.
Diharapkan dengan mengadakan program tersebut, dapat memberi inspirasi kepada belia dan meningkatkan kesedaran mereka tentang peranan penting belia serta institusi perundangan dalam membina masa depan yang lebih baik untuk rantau ASEAN.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)