Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

08.04.24 Memperluaskan kerjasama dalam bidang perundangan

​BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 8 April. - Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon, hari ini.


Pertemuan tersebut telah menumpukan kepada perbincangan mengenai isu-isu yang menjadi kepentingan dan keprihatinan bersama. Antaranya kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai hubungan dua hala dan persahabatan yang kukuh antara kedua-dua negara yang telah terjalin sejak lamanya dan telah dinikmati sebelum negara mencapai kemerdekaannya.


Dalam menambah lagi, sejarah yang mencerminkan persahabatan baik antara kedua-dua negara ini menjadi teras kepada perhubungan tersebut dan diharapkan akan terus berkembang. Kedua-dua pihak juga membincangkan mengenai peluang untuk memperluaskan kerjasama terutama sekali dalam bidang perundangan yang merupakan salah satu bidang kerjasama yang penting untuk diterokai.


Dalam bertukar-tukar pandangan mengenai sistem perundangan, kedua-dua pihak telah membincangkan persamaan antara kedua-dua dewan dari segi prosedur dan tatacara amalan yang berdasarkan sistem pemerintahan sebelumnya yang unik dan masih dipraktikkan.


Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon juga telah merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kejayaan Persidangan MMN Ke-20 yang telah diadakan dengan baik dengan membawakan lebih banyak isu-isu yang relevan dan menjadi kepentingan kepada rakyat.


Antara lain lagi, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN dan TYT Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura juga menyentuh mengenai beberapa perkara lain khususnya mengenai pertukaran mata wang antara kedua-dua negara yang menjadi keistimewaan di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. Selain itu, kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai bidang pendidikan dan kepentingannya dalam membantu sesebuah negara untuk sentiasa berkembang mengikut peredaran masa.


Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.


(Sumber berita: Pelita Brunei)

08.04.24 Memperluaskan kerjasama dalam bidang perundangan