Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

28.10.22 - JMM menghadiri Mesyuarat APPF kali ke-30 di Bangkok, Thailand

Majlis Mesyuarat Negara telah menghadiri mesyuarat tahunan Asia-Pacific Parliamentary Forum (APPF) kali ke-30 secara fizikal bertempat di Bangkok, Thailand. Ini merupakan mesyuarat kali pertama bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) menghadirinya sebagai Negara Ahli Penuh.


Mesyuarat APPF pada tahun ini telah dihadiri oleh 20 buah parlimen dari negara-negara rantau Asia Pasifik, sebuah negara pemerhati dan tiga organisasi undangan negara penganjur. NBD diketuai oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.

 

Tema mesyuarat pada tahun ini ialah Parliaments and the Post-COVID-19 Sustainable Development. Mesyuarat membincangkan pelbagai isu berkaitan pasca pandemik COVID-19, dalam usaha untuk membangun semula pelbagai sektor ekonomi, politik, sosial dan kesihatan amnya. Parlimen berperanan utama menyokong kerajaan bagi mempercepatkan proses pembangunan negara pasca pandemik. Sehubungan dengan itu, mesyuarat APPF berperanan penting sebagai sebuah platform perkongsian idea bagi membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai kaedah terbaik dalam menyelaras dan menangani krisis global berkenaan bagi kepentingan bersama.

 

Yang Berhormat Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara telah membuat kenyataan bahawa NBD menyokong sepenuhnya dalam mempromosikan peluang digitalisasi dalam sektor ekonomi dan perdagangan dalam era pembangunan saintifik dan teknologi pada masa kini. Yang Berhormat turut menyentuh mengenai pencegahan awal penyakit berjangkit dan tidak berjangkit adalah antara fokus utama dalam memastikan penjagaan kesihatan kita berada pada tahap yang tinggi, selaras dengan Pelan Strategik Kesihatan Negara 2019 - 2023.

 

Mesyuarat APPF30 telah meluluskan 11 resolusi, manakala tiga resolusi akan dibawa ke mesyuarat seterusnya dan dua resolusi telah ditarik balik oleh negara pencadang. Mesyuarat juga meluluskan sebuah Kenyataan Bersama (Joint Communique) yang telah ditandatangani oleh Ketua-ketua Perwakilan Ahli APPF.

 

Mesyuarat APPF seterusnya akan dianjurkan oleh Republik Filipina pada tahun 2023.

 

Turut sama menghadiri mesyuarat berkenaan, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar.

28.10.22 - JMM menghadiri Mesyuarat APPF kali ke-30 di Bangkok, Thailand