Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

28.04.22 Majlis Khatam Al-Quran JMM

Bandar Seri Begawan, Khamis, 28 April 2022 – Aktiviti bertadarus merupakan ibadah yang menjadi kelaziman umat islam di bulan Ramadhan yang mulia lagi berkah ini.  Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat hari ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran.  Majlis diadakan di Surau jabatan bermula jam 1.00 petang tadi.

Majlis tahunan ini adalah anjuran Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat yang disertai oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.  Majlis Khatam Al-Quran ini menandakan berakhirnya pembacaan Al-Quran 30 Juzuk dari warga jabatan ini.  Hadir ke majlis ini, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat.

Majlis Khatam Al-Quran tersebut didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Julazni bin Haji Zaini, Imam Tingkat I kemudiannya diikuti dengan Bacaan Surah-Surah Lazim, Bacaan Takhtim, Bacaan Doa Khatam Al-Quran dan Zikir Asrakal. 

Bersempena bulan Ramadhan yang mulia ini, seperti lazimnya Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat juga memberikan sumbangan Hari Raya kepada dua (2) orang kakitangan jabatan tersebut.  Sumbangan ini telah disampaikan oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Awang Haji Judin bin Haji Asar, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet & Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat.

Antara lain tujuan aktiviti membaca Al-Quran di bulan Ramadhan diadakan setiap tahun adalah untuk menggalakkan para pegawai dan kakitangan di jabatan supaya lebih semangat dalam pembacaan Al-Quran dan mencintai Al-Quran, dan diharapkan juga segala amalan ibadah yang dilakukan terutama sekali di dalam keaadan berpuasa akan beroleh pahala yang berlipat ganda.


28.04.22 Majlis Khatam Al-Quran JMM